SAM bantah projek pembangunan di Kuala Kedah musnahkan paya bakau

kawasan yang musnahKawasan hutan paya bakau yg ditimbus di Kg Sematang Tepi Laut, Kuala Kedah               Gambar : SAM

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati lebih kurang lima hektar hutan paya bakau di kedua-dua kampung itu telah musnah ditebang dan ditambak bagi tujuan melaksanakan projek pembangunan di kawasan itu.

Namun apa yang menghairankan, projek yang telah bermula sejak tahun yang lalu ini tidak mempunyai papan tanda.

SAM difahamkan, berikutan kemusnahan hutan paya bakau yang berlaku di kawasan tersebut hasil tangkapan nelayan di sini merosot sebanyak 50%. Ikan, udang, ketam, siput dan kerang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka telah berkurangan dan diancam kepupusan.

Di samping menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan, SAM bimbang kesan pemusnahan hutan paya bakau di sini juga boleh menyebabkan berlakunya hakisan pantai dan ancaman serius sekiranya berlaku tsunami pada masa akan datang.

SAM kesal walaupun bantahan telah dibuat oleh penduduk-penduduk di sini kepada pihak kerajaan mengenai projek tersebut namun ia tidak diberi perhatian dan diambil tindakan bagi menyelesaikannya.

SAM menggesa kerajaan Kedah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan segera menghentikan kegiatan memusnahkan hutan paya bakau dan kerja-kerja menambak tanah di kawasan ini.

Jika projek pembangunan di kawasan tersebut diteruskan SAM percaya hutan paya bakau seluas lebih kurang 300 hektar di sini dan kehidupan 130 keluarga di kedua-dua kampung berkenaan akan terjejas dengan lebih serius lagi.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate