SAM bimbang hutan paya bakau di Geo Park Kilim terancam

Pokok Bakau TumbangPokok bakau tumbang dibadai bot laju

Kenyataan Akhbar                                                                                      27 Mei 2016

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Perhutanan Kedah dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memberi perhatian serius dan mengambil langkah segera bagi memelihara serta menyelamatkan hutan paya bakau di Geo Park Kilim di Pulau Langkawi dari mengalami kemusnahan.

Geo Park Kilim yang mempunyai keluasan 100 kilometer persegi merupakan rizab alam semulajadi dipenuhi berbagai flora dan fauna yang menakjubkan termasuk batu kapur, fosil, gua, lagun, pantai dan pemandangan laut yang indah. 

Namun begitu, dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati terdapat keadaan yang boleh menjejaskan alam semulajadi di kawasan tersebut iaitu ancaman ke atas hutan paya bakau oleh aktiviti bot pelancong dan masalah pencemaran sampah sarap yang berlaku di sini. 

Penggunaan engin bot melebihi 200 KK (Kuasa Kuda) oleh para pengusaha bot pelancong yang melalui Sungai Kilim amat membimbangkan SAM kerana ia boleh mengancam alam semulajadi di kawasan ini dan menggugat kedamaian tempat itu akibat bunyi bising yang kuat. 

Bot dipandu lajuBot dipandu laju

SAM mendapati pemandu bot pelancong di sini memandu dengan laju walaupun terdapat arahan di papan tanda supaya perlahankan bot ketika melalui sungai ini. Kelajuan bot tersebut menyebabkan berlaku ombak besar dan membadai hutan paya bakau di sepanjang sungai berkenaan menyebabkan khazanah alam semulajadi itu terancam dan ada pokok-pokok yang tumbang. 

SAM mencadangkan agar pengusaha bot pelancong di sini hanya dibenarkan menggunakan engin bot tidak melebihi 60 KK ketika beroperasi di kawasan tersebut. Langkah ini boleh mengurangkan kesan buruk ke atas alam sekitar kawasan itu. 

Kawasan hutan paya bakau di sini juga dipenuhi sampah sarap, plastik, botol kosong dan lain-lain bahan buangan yang terapung dan terdampar di kawasan berkenaan. SAM percaya jika masalah itu tidak dikawal ia bukan saja boleh mencemarkan air Sungai Kilim, tetapi juga mengancam 40 spesies ikan yang terdapat di perairan ini. 

SAM meminta Jabatan Perhutanan Kedah, LADA dan Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) melaksanakan undang-undang yang lebih ketat bagi mengawal keadaan ini dari terus berlaku. Tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak yang mencemarkan alam sekitar semulajadi di kawasan ini. 

SAM kesal keadaan alam sekitar di Pulau Langkawi sejak beberapa tahun kebelakangan semakin merosot akibat pelaksanaan projek pembangunan yang tidak menitikberatkan soal alam sekitar, kebersihan sungai, laut dan kepentingan hutan dalam kehidupan manusia.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate