SAM bimbang kesan pencemaran sisa buangan sampah ke atas penduduk di Bukit Palong, Negeri Sembilan

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                          25 OGOS 2015

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Pihak Kerajaan Negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Sembilan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sisa buangan sampah yang berlaku di Bukit Palong, Negeri Sembilan.

Mengulas laporan akhbar tempatan Sinar Harian yang bertarikh 18 Ogos 2015 mengenai masalah pencemaran udara dan bau berpunca dari Pusat Pelupusan Sampah Bukit Palong, SAM berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil inisatif agar masalah para penduduk sekitar kawasan ini mendapat perhatian yang sewajarnya. 

Kejadian ini amat membimbangkan kerana dalam longgokan sampah tersebut berkemungkinan besar terkandung pelbagai bahan berbahaya malah risiko yang ditanggung oleh para penduduk tempatan amat membimbangkan.  

SAM percaya jika keadaan itu dibiarkan berlarutan maka ia akan menjadi bertambah buruk pada masa akan datang dan kualiti alam sekitar turut terjejas. Persoalannya ialah apakah tahap kesihatan penduduk-penduduk di kawasan berkenaan selama 10 tahun menghidu bau busuk dari tapak pelupusan sampah ini.  Keadaan kesihatan penduduk di sini perlu dinilai. 

SAM berharap agar kerajaan negeri lebih peka terhadap masalah pencemaran yang berlaku di sini dan mengambil tindakan sewajarnya.  Janji oleh Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Sembilan bahawa Pusat Pelupusan Sampah Bukit Palong akan ditutup operasinya dalam masa terdekat perlu dikotakan.  

Langkah-langkah membaikpulih tapak pelupusan ini juga perlu diambil segera demi kesejahteraan alam sekitar dan kesihatan penduduk tempatan.   

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

 

Join Donate