SAM bimbang pencemaran di Kebun Kuyung ancam Sungai Kerian

Pencemaran di Kebun Kuyung

Nelayan di Jeti Simpang Tiga berhampiran Sg Kerian yang terjejas pencemaran - Gambar SAM

KENYATAAN AKHBAR                                                                              15 Ogos 2016

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sisa buangan kilang yang berlaku di Kebun Kuyung, dekat Nibong Tebal daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini. 

Terdapat tiga buah kilang beroperasi di Kebun Kuyung.  Masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu bukan saja menyebabkan air di dalam parit di kawasan tersebut menjadi hitam dan berbau busuk, malah sisa buangan kilang di situ juga turut mencemarkan air Sungai Kerian berdekatan.

Kejadian ini pernah diadukan oleh penduduk tempatan kepada pihak berkenaan termasuk Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil bagi menangani masalah itu. 

SAM bimbang jika ia dibiarkan alam sekitar akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang. Hidupan di dalam Sungai Kerian terutama ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama 100 nelayan kecil di kawasan tersebut akan terancam dengan lebih teruk dan berkurangan, sekali gus menjejaskan hasil pendapatan mereka.

Parit tercemar Kebun KuyungParit di Kebun Kuyung hitam dan airnya tercemar - Gambar SAM

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati selain penduduk tempatan saban hari terdedah kepada pencemaran tersebut kesan yang lebih buruk mungkin berlaku dan mengancam kawasan pertanian di sini termasuk sawah padi berhampiran jika berlaku banjir. 

SAM kesal walau pun kejadian ini sudah lama berlaku dan aduan telah dibuat kepada pihak berkenaan namun sehingga kini punca berlakunya masalah tersebut gagal ditangani dengan berkesan.  

Sehubungan itu SAM meminta kerajaan Pulau Pinang, MPSP dan jabatan serta agensi yang terlibat menyiasat masalah ini dengan segera di samping mengambil tindakan undang-undang yang tegas ke atas pengusaha kilang yang melakukan pencemaran tersebut. Mereka juga perlu membersihkan parit yang tercemar agar udara di kawasan ini tidak lagi diselubungi bau busuk. 

SAM berharap pemantauan yang kerap dan berterusan dapat dilakukan oleh pihak berkenaan di kawasan tersebut bagi memastikan  kejadian serupa tidak berulang pada masa depan.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate