SAM, CAP gesa kerajaan haramkan pukat tunda

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                   18 DISEMBER 2014

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan segera penggunaan pukat tunda demi menyelamatkan sumber perikanan dari mengalami kepupusan.

Melalui memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak hari ini (18 Disember 2014), SAM dan CAP bimbang jika penggunaan pukat tersebut masih berterusan ia bukan saja mengancam kehidupan 80,000 nelayan pantai di negara ini tetapi juga boleh menjejaskan masa depan sektor perikanan negara. Memorandum yang sama turut dihantar kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Malaysia dan Ketua Pengarah Perikanan. 

Selain SAM dan CAP, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, pakar-pakar bidang perikanan serta para saintis turut menyatakan kebimbangan masing-masing mengenai perkara ini dan berharap isu tersebut diberi perhatian serius oleh kerajaan. 

Tinjauan SAM dan CAP mendapati pukat tunda bukan saja memerangkap dan membunuh lebih 90% anak ikan bersaiz kecil (benih) tetapi juga memusnahkan batu karang yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut. Sejak beberapa tahun kebelakangan bot pukat tunda di negara ini dikesan semakin aktif beroperasi dan menangkap anak-anak ikan (ikan kecil) berikutan permintaan yang bertambah banyak dari pengusaha-pengusaha projek akuakultur untuk makanan ternakan mereka. 

Berikutan itu pencerobohan bot pukat tunda di Zon A ( 1 batu nautika hingga 8 batu nautika dari pantai) kawasan tangkapan nelayan pantai kerap berlaku menyebabkan ikan dan udang berkurangan serta menjejaskan hasil tangkapan nelayan pantai mencecah hingga 70% setiap kali turut ke laut. 

Nelayan pantai mendakwa kehidupan mereka terancam sejak lebih 40 tahun yang lalu akibat aktiviti dan pencerobohan bot pukat tunda yang berlaku. Selain hasil pendapatan mereka teruk merosot, kerugian yang besar turut dialami akibat kerosakan jaring kerana dilanggar oleh bot pukat tunda. Setakat ini lebih kurang 150 spesies hidupan laut telah dan sedang diancam kepupusan akibat penggunaan pukat tunda yang berleluasa dan tidak terkawal di negara ini. 

SAM dan CAP menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan pukat tunda di negara ini seperti yang dilakukan oleh kerajaan Jepun, Hong Kong, Indonesia dan Palau. Jika tidak, menjelang 2048 laut Malaysia akan ketandusan sumber perikanan. 

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate