SAM gesa masalah nelayan Chukai ditangani segera

Bubu rosakBubu nelayan Chukai sering musnah dilanggar bot pukat tunda. Gambar SAM

KENYATAAN AKHBAR                                                                19 Ogos 2016

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Terengganu, jabatan dan agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh 200 nelayan pantai di Chukai daerah Kemaman di sini.  

Selain keadaan jeti tempat mereka melabuhkan bot dan mendaratkan hasil tangkapan yang rosak teruk sejak lebih 10 tahun yang lalu, nelayan-nelayan di kawasan tersebut juga sering diancam oleh bot pukat tunda serta masalah tidak mendapat insentif nelayan RM300.00 sebulan. SAM kesal walau pun masalah-masalah itu sudah lama berlaku dan dihadapi oleh mereka tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa terbabit bagi menyelesaikannya.  

Pada Mei lalu SAM telah menghantar surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah Kemaman, Jabatan Perikanan dan Biro Pengaduan Awam Wilayah Timur memaklumkan mengenai masalah jeti nelayan yang terlalu uzur dan menggesa pihak berkenaan menyiasat dan mengambil tindakan bagi mengatasi masalah itu. 

Jeti rosakJeti nelayan di Chukai yang rosak dan belum dibaiki. Gambar SAM

SAM turut mengemukakan perkara ini kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. 

Tinjauan terbaru SAM pada 10 Ogos 2016 mendapati keadaan jeti tersebut masih belum dibaiki dengan sempurna dan menimbulkan kebimbangan nelayan-nelayan di kawasan itu untuk menggunakannya kerana ia boleh mengancam keselamatan mereka. 

Nelayan-nelayan di kawasan ini juga membuat aduan kepada SAM bahawa bubu kepunyaan mereka rosak dan musnah kerana dilanggar oleh bot-bot pukat tunda dari Kuantan yang beroperasi di perairan Kemaman pada waktu malam. Masalah ini bukan saja menyebabkan nelayan di sini mengalami kerugian besar malah sumber perikanan di perairan tersebut juga semakin berkurangan. 

SAM turut menerima aduan mengenai ramai nelayan di kawasan ini tidak mendapat wang insentif sebanyak RM300.00 sejak tiga tahun yang lalu. Nelayan terbabit meminta pihak kerajaan yang bertanggungjawab menyiasat perkara ini apakah sebab masalah itu berlaku. 

SAM amat bersimpati dengan nelayan-nelayan yang terlibat dan berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasi masalah yang dihadapi. SAM percaya kehidupan nelayan-nelayan di kawasan ini akan lebih teruk terjejas jika masalah-masalah tersebut berlarutan dan tidak diambil tindakan dengan tegas serta berkesan.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate