SAM gesa pencemaran Sungai Nyior di atasi segera

sungai Nyoir yang busukBeginilah keadaan air Sungai Nyior yang   hitam pekat dan berbau busuk              Gambar : SAM 

Kenyataan Akbar                                       28hb September 2016

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pahang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran Sungai Nyior, Balok dekat Kuantan yang serius berlaku ketika ini.

Masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu bukan saja menyebabkan air sungai berkenaan menjadi hitam pekat dan berbau busuk tetapi juga telah dikesan mengandungi E-Coli yang tinggi.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati selain penduduk berhampiran yang terpaksa menghidu bau busuk air sungai tersebut para pengguna jalan di kawasan itu juga turut merasai masalah ini.

SAM bimbang jika pencemaran ini tidak ditangani dengan berkesan ia boleh mencetuskan kesan yang lebih buruk yang melibatkan kesihatan orang ramai, kepupusan sumber perikanan dan kesejahteraan hidup penduduk tempatan.

Pada Ogos lalu SAM telah menghantar surat kepada pihak berkuasa negeri, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan jabatan-jabatan yang terlibat menggesa siasatan dan tindakan diambil oleh mereka namun hingga sekarang tidak ada jawapan serta laporan mengenai perkembangan masalah ini dari pihak berkenaan.

SAM kesal walau pun isu pencemaran Sungai Nyior di sini sudah lama menjadi rungutan orang ramai termasuk para pencinta alam sekitar namun hingga kini tidak ada langkah sewajarnya diambil bagi mengatasi masalah itu.

Justeru, SAM sekali lagi menggesa kerajaan negeri Pahang, MPK dan JAS menyiasat perkara ini dan mengumumkan kepada orang ramai punca kejadian tersebut dan kedudukan terkini keadaan pencemaran sungai tersebut.

Tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil ke atas pihak yang dikenalpasti mencemarkan sungai ini agar ancamannya tidak berulang lagi pada masa akan datang.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate