SAM kesal hutan sekitar empangan Sungai Lebam musnah

Lebam 1Gambar Berita Harian

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                            17 MAC 2015

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Johor mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan Empangan Sungai Lebam, Pengerang dekat Kota Tinggi di sini yang mengalami masalah kekurangan air akibat penerokaan kawasan hutan di sekitar empangan itu.

Lebam 2

SAM kesal berikutan aktiviti tersebut kawasan terbabit telah mengalami kemusnahan menyebabkan 100,000 penduduk yang bergantung hidup kepada sumber bekalan air dari empangan berkenaan akan terjejas kehidupan mereka. 

Antara kawasan-kawasan yang terlibat ialah FELDA Air Tawar 4, Desa Rhu, Bandar Penawar, Pengerang dan Teluk Rumania. 

Mengulas pendedahan oleh akhbar tempatan ( BH : 11 Mac 2015 ) mengenai  perkara ini, SAM berharap siasatan menyeluruh dapat dilakukan oleh Pejabat Tanah Dan Galian Negeri, Jabatan Hutan Johor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagaimana kawasan seluas 20 hektar di sini boleh diteroka untuk aktiviti pertanian. 

Kawasan yang diteroka pada tahun 2012 ini telah menyebabkan paras air di empangan tersebut mulai susut tahun 2013. SAM percaya jika tindakan segera bagi menghentikan kegiatan itu tidak diambil sumber bekalan air di empangan ini akan terus terancam dan dicemari sisa kimia serta berbahaya kepada kesihatan penduduk-penduduk di sini. 

SAM mencadangkan agar kawasan hutan yang telah digondol ini dipulihkan dengan menanam semula spesies tumbuhan hutan yang sesuai supaya ia kembali berfungsi sebagai tempat tadahan air bagi faedah penduduk tempatan. 

SAM turut menggesa pihak-pihak yang bertanggungjawab mengumumkan kepada orang ramai hasil siasatan yang dibuat tentang kejadian yang berlaku serta bagaimana status hutan simpan dan kawasan tadahan air di sini dengan sewenang-wenang diberi kelulusan untuk diteroka atau dimajukan. 

SAM berpendapat, tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil ke atas mana-mana pihak yang merosakkan alam sekitar dan melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawah akta berkaitan. SAM bimbang jika keadaan di sini dibiarkan berlarutan ia boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden 

Join Donate