SAM kesal kejadian pencemaran bahan kimia di Tumpat, Kelantan

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                    01 OKTOBER 2013 

Sahabat Alam Malaysia (SAM) kesal berhubung kejadian pencemaran bahan kimia yang berlaku di Tumpat Kelantan baru-baru ini dan menggesa siasatan menyeluruh dan tindakan tegas diambil ke atas pihak yang terlibat.

SAM meminta pihak berkuasa negeri dan jabatan-jabatan berkenaan memandang serius terhadap masalah itu dan undang-undang berkaitan dengan perkara ini perlu dikuatkuasakan dengan berkesan agar ia tidak berulang pada masa akan datang. 

Minggu lalu lima keluarga di Kampung Tebing daerah Tumpat di sini mengalami symptom sesak nafas selepas terhidu gas berpunca dari bahan kimia Hydrogen Peroxide meruap dari tong yang terletak berdekatan kawasan pembuangan sampah dalam Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting. 

Penduduk terbabit mendakwa mereka turut mengalami pedih mata,selsema,batuk serta gatal-gatal seluruh badan dan ada di antaranya terpaksa dirawat di klinik berdekatan. 

Menurut Ketua Unit Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Mohd Sabri Ismail sebanyak 10 tong bahan kimia telah ditemui di kawasan itu dan dipercayai untuk digunakan bagi mereput ikan. 

Bahan tersebut boleh bertindak balas dengan haba dan ia akan meruap serta boleh menjejaskan kesihatan, katanya. 

Sehubungan itu SAM menggesa kerajaan Kelantan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan Jabatan Kesihatan memantau dengan lebih kerap bagi memastikan masalah yang berlaku itu dapat ditangani dengan berkesan. 

SAM bimbang jika peraturan-peraturan berkaitan pembuangan sisa di tempat perlupusan sampah longgar dan undang-undang yang ada tidak dikuatkuasakan dengan tegas ia akan memberi kesan yang lebih buruk dan teruk ke atas alam sekitar dan kesihatan penduduk berhampiran. 

SAM meminta pihak kerajaan melakukan pemereksaan susulan ke atas kesihatan penduduk-penduduk kampung yang terlibat agar kesan dari pencemaran yang berlaku itu tidak berlarutan. Pihak berkenaan juga perlu mendedahkan keadaan semasa dan tindakan yang telah diambil bagi meredakan kebimbangan orang ramai mengenai kejadian ini. 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate