SAM kesal orang asli di Kelantan menjadi mangsa pencemaran sungai

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                02 NOVEMBER 2015

Sahabat Alam Malaysia (SAM) merasa kesal kejadian pencemaran sungai yang berlaku di Kuala Betis dekat Gua Musang, Kelantan telah meragut nyawa seorang Orang Asli Temiar manakala tujuh orang yang lain dimasukkan ke hospital kerana dipercayai terminum air sungai di kawasan tersebut.

Kejadian ini berlaku mungkin berpunca dari aktiviti perladangan di kawasan itu yang membuang sisa racun ke dalam sungai berkenaan. 

SAM menggesa kerajaan Kelantan, Malis Daerah Gua Musang (MDG),Jabatan Alam Sekitar Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyiasat masalah ini dan mendedahkan punca sebenar kejadian tersebut kepada orang ramai dengan secepat mungkin. 

SAM kesal kerana masalah ini sudah lama menjadi rungutan masyarakat Orang Asli di sini tentang pencemaran yang melibatkan bekalan air bagi kegunaan harian mereka tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil. 

Pada Oktober 2014, SAM pernah dan telah menulis surat aduan kepada pihak berkuasa terbabit mengenai masalah penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis yang bimbang kesihatan mereka terjejas kerana sumber bekalan air di kawasan itu dicemari racun. 

Berikutan aduan itu SAM tidak menerima sebarang jawapan hasil siasatan dan laporan lengkap mengenai masalah ini dari pihak berkenaan walau pun surat peringatan turut dihantar kepada mereka. 

SAM terkejut dan sedih bila mendapat tahu kalangan Orang Asli yang terlibat dengan masalah itu telah menjadi mangsa keracunan kerana terminum air yang dicemari bahan toksik tersebut. 

SAM berharap pihak kerajaan negeri, jabatan serta agensi yang terlibat memberi perhatian serius terhadap kejadian ini dan menggesa tindakan undang-undang yang tegas diambil ke atas pihak yang menjadi punca berlakunya pencemaran sungai di sini dan kes kematian yang melibat Orang Asli di kawasan itu. 

Pemantauan yang berterusan perlu dilakukan oleh pihak berkaitan di perkampungan Orang Asli di sini bagi menjamin kehidupan mereka tidak lagi terancam pada masa akan datang.  

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

 

Join Donate