SAM mohon penjelasan berhubung pewartaan dua hutan simpan dan pemansuhan hutan tadahan air, Hutan Simpan Ijok

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                   16 DISEMBER 2014

Sahabat Alam Malaysia (SAM) merujuk kenyataan YAB Menteri Besar Perak pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Sidang DUN) baru-baru ini (9 Disember 2014) yang disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan.

YAB Menteri Besar menyatakan, Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan pewartaan beberapa kawasan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) sejak tahun 2010 sehingga kini.

Walaubagaimana pun timbul persoalan dan SAM ingin memohon penjelasan berhubung dua kawasan yang diwarta sebagai HSK iaitu Hutan Simpan Teluk Muroh (HS Teluk Muroh) dan Hutan Simpan Piah (HS Piah).

Kedua-dua kawasan tersebut memang telah lama diwarta sebagai HSK iaitu HS Teluk Muroh bertarikh 28 Oktober 1948 dan HS Piah bertarikh 29 Januari 1915 tetapi kedua-duanya pernah beberapa kali dimansuh pewartaan sebahagian.

Mengikut rujukan dan dokumentasi, sebahagian HS Teluk Muroh memang pernah diwarta semula seluas 89.83 hektar bertarikh 28 April 2004 (No Warta: 746) tetapi dimaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah meluluskan pemansuhan sebahagian hutan simpan tersebut seluas 121.16 hektar pada 6 Januari 2010.

Mengikut kenyataan YAB Menteri Besar lagi, HS Piah juga diwarta pada 23 Januari 2013 tetapi mengikut Warta Kerajaan Negeripula sebahagian hutan simpan tersebut telah dimansuh seluas 994 hektar bertarikh 12 Mac 2014 (No Warta: 601).

Pihak Berkuasa Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak perlu juga member penjelasan berhubung pemansuhan Hutan Tadahan Air keseluruhan Hutan Simpan Ijok (HS Ijok) bertarikh 2 Oktober 2014 (No Warta: 2161).

Mengikut Warta Kerajaan Negeri, HS Ijok seluas 293 hektar adalah dikelaskan sebagai Hutan Tadahan Air [Seksyen 10.(1)(e), Akta Perhutanan Negara 1984 – No Warta: 951].

Kenyataan YAB Menteri Besar lagi, iaitu sejak tahun 2006 sehingga 30 Oktober 2014 seluas 15,867 hektar HSK telah dimansuh mengukuhkan kenyataan SAM sebelum ini bahawa Pihak Berkuasa Negeri telah memansuh lebih 10,000 hektar HSK sejak 21 Mei 2009 sehingga kini.

Oleh itu,SAM berharap samada Pihak Berkuasa Negeri atau Jabatan Perhutanan Negeri Perak dapat member penjelasan berhubung persoalan yang dikemukakan. 

 

S.M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate