SAM seru kerajaan negeri Kelantan batal perjanjian ‘Carbon-Offset’

Carbon Emissions

Keratan media daripada Astro Awani

Kenyataan Akhbar                                  03 Februari 2017

Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang berat niat kerajaan negeri Kelantan untuk mengambil bahagian dalam perdagangan kredit karbon dengan sebuah syarikat dagangan karbon yang melibatkan 25% daripada kawasan hutan Kelantan.

Turut merisaukan ialah laporan media yang mengalu-alukan konsesi 30 tahun yang melibatkan 396,000ha hutan di mana karbon kredit yang dihasilkan akan dijual di pasaran karbon Eropah. 

Skim ‘carbon-offset’ telahpun didapati tidak berkesan dalam menangani masalah pelepasan karbon. Malahan, ia merupakan satu gangguan daripada tindakan untuk menghentikan pemanasan global. Tambahan pula, pasaran dagangan karbon dibelenggui dengan masalah penyelewengan, ketidakpastian dan kelemahan, justeru itu, tidak dapat memastikan pengurangan pelepasan karbon yang amat diperlukan untuk mengelakkan bencana perubahan iklim yang teruk.   

Terdapat kekeliruan yang ketara daripada maklumat yang didedahkan berikutan daripada perjanjian yang dibuat di antara pihak kerajaan negeri Kelantan dengan syarikat Climate Change Protector (CCP) Sdn Bhd. 

Adalah tidak jelas sama ada kerajaan negeri telahpun memberikan konsesi tersebut sebagai sebahagian daripada perjanjian mempelawa syarikat CCP untuk menjalankan audit, iaitu langkah pertama untuk melaksanakan projek tersebut. 

Oleh itu, kami meminta kerajaan negeri Kelantan memberikan penjelasan terhadap aspek ini dalam perjanjian tersebut. 

Kami juga berpendapat adalah wajar bagi kerajaan negeri mendapatkan nasihat dan kepakaran teknikal daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk menilai butir-butiran perjanjian tersebut. 

Kami juga ingin membawa perhatian terhadap kesalahan nyata dalam promosi perjanjian tersebut sebagai sebuah mekanisma Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam mengurangkan pelepasan karbon daripada sector perhutanan yang dikenali sebagai Pengurangan Perlepasan daripada Penebangan Hutan dan Pensusutan Hutan (Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation - REDD). 

Perjanjian ‘carbon-offset’ yang diterajui oleh pihak swasta tidak harus dikelirukan dengan mekanisma ‘REDD-plus’ PBB yang sehingga ke hari ini hanya telah mencapai persetujuan ‘results-based payments’  untuk Negara-negara sedang membangun yang layak diberikan pampasan kerana telah memelihara hutan-hutan mereka sebagai sinki karbon. Buat masa ini tidak ada ‘carbon-offsets’ di dalam mekanisma REDD-plus. 

Walaupun tanah dan hutan tertakluk dalam bidang kuasa negeri, perlu diambil perhatian bahawa kerajaan Malaysia telahpun menyerahkan cadangan untuk memperolehi bantuan kewangan antarabangsa bagi kawasan hutan dalam wilayah pemerintahannya yang meliputi kawasan hutan Kelantan. 

Kami menggesa pihak kementerian memberikan perhatian serta-merta terhadap tindakan kerajaan negeri Kelantan menjual karbon hutannya kerana ia akan menjejaskan niat kerajaan pusat untuk memperolehi bantuan kewangan antarabangsa bagi sektor perhutanan. 

Negeri-negeri lain yang tidak menerima nasihat yang tepat akan kerumitan perdagangan karbon hutan dan rundingan di peringkat Perjanjian Kerangka Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Framework Convention on Climate Change) kemungkinan akan tertarik kepada manfaat ‘carbon-offsets’ yang sebenarnya tidak dapat dilaksanakan. 

Tambahan pula, insiden Kelantan tersebut menunjukkan bahawa terdapat masalah penyelarasan di antara pihak kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam melaksanakan tindakan menangani perubahan iklim kebangsaan yang telahpun dijanjikan oleh Malaysia sebagai penandatangan (signatory) kepada Perjanjian Paris menerusi ‘Nationally Determined Contributions’. 

Sekiranya perjanjian ‘carbon-offsets’  Kelantan berlaku, pengecualian hutan Kelantan akan menjejaskan komitmen Negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas-gas rumahkaca sebanyak 45% menjelang tahun 2030 berdasarkan tahap pelepasan pada tahun 2005 kerana pengurangan yang dilakukan menerusi ‘carbon-offsets’ tidak akan dikira sebagai sumbangan pengurangan pelepasan karbon oleh Malaysia. 

SAM menyeru kerajaan negeri Kelantan untuk membatalkan perjanjian ‘carbon-offsets’ tersebut dan menggesa Kementerian menasihati kerajaan Kelantan supaya tidak meneruskan perjanjian tersebut. 

 

S.M.Mohamed Idris

Presiden

Join Donate