Sekatan jalan (blockade) sebagai bantahan terhadap pembinaan projek paip minyak & gas Sabah – Sarawak oleh Petronas

Long Meraan 1

Penduduk Kampung Long Meraan menyekat jalan di jalan utama menghala ke Kg Long Seridan, Ulu Sungai Tutoh, Baram

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                          17 OGOS 2013 

SAM telah menerima laporan bahawa kira-kira 100 orang penduduk kampung kaum Penan dari Long Meraan, Sg. Magoh telah berhimpun untuk mendirikan lima buah sekatan jalan pada 7 Ogos 2013. Sekatan utama didirikan di jalan utama menghala ke Kampung Long Seridan, Ulu Sungai Tutoh, Baram. Empat buah lagi sekatan didirikan di Jalan Sawa’, simpang Alim Patah, simpang Sungan dan di sebuah lagi tempat.

 

Long Meraan - 2Long Meraan - 2Sekatan ini didirikan bagi membantah dan menyekat operasi pemasangan Paip Minyak dan Gas Sabah-Sarawak yang dijalankan oleh sebuah syarikat kontraktor Petronas. Sekatan ini didirikan ekoran dari kegagalan syarikat terbabit mengambil perhatian dan tanggungjawab terhadap beberapa aduan dan bantahan yang dikemukakan oleh penduduk kampung.

Penduduk kampung mendakwa bahawa kontraktor berkenaan telah gagal mematuhi beberapa buah perkara seperti yang telah dijanjikan oleh pegawai-pegawai Petronas dalam beberapa dialog yang diadakan sebelum ini.
Maklumat awal daripada pihak perwakilan syarikat dan Pegawai Perhubungan Awam Petronas tentang garisan paip minyak dan gas Petronas adalah diberitakan sebagai terhad sehingga 40 meter lebar sahaja. Selain daripada itu, pihak syarikat juga telah berjanji untuk mengelakkan kemusnahan alam sekeliling termasuk pencemaran dan kerosakan sungai-sungai. 

Malangnya menurut wakil penduduk, Belaweng Turau, Ketua Kaum Penan Long Meraan, operasi pemasangan paip tersebut telah memberi kesan yang amat negatif terhadap penduduk kampung beliau dan telah menyebabkan mereka mengalami kelumpuhan terhadap segala keperluan dan kepentingan tradisi hidup kaum Penan.

Menurut beliau lagi, kerja-kerja pemasangan paip ini telah menyebabkan kemusnahan hasil-hasil hutan dan pencemaran teruk sungai-sungai, menjejaskan sumber pendapatan, bekalan air bersih dan mutu hidup para penduduk.

Pada 8 Ogos 2013, beberapa pihak telah datang melawat ke kawasan sekatan, termasuklah wakil-wakil daripada syarikat sub-kontraktor Petronas, Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Petronas, Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak Bahagian Miri serta pegawai polis. Pegawai daripada Jabatan Tanah dan Ukur Bahagian Miri dilaporkan telah mengarahkan penduduk kampung untuk membuka sekatan sebagai syarat untuk mengadakan perundingan. Akan tetapi, penduduk kampung menolak dengan lembut dan menjelaskan bahawa mereka telah sekian lama menjemput pihak berkuasa dan Syarikat Petronas sendiri untuk menyelesaikan isu tersebut tetapi aduan dan bantahan mereka langsung tidak diendahkan selama ini.

Selang beberapa hari kemudian iaitu pada 12 Ogos 2013, sekali lagi pihak-pihak berkenaan datang ke kawasan sekatan tetapi kali ini diwakili oleh orang lain. Seorang wakil dari pihak sub-kontraktor dilaporkan telah mengarahkan penduduk kampung untuk membuka sekatan. Beliau meminta pihak kampung untuk membuka sekatan selama 15 hari bagi membolehkan pihak syarikat menjalankan kerja-kerja dan aktiviti mereka. Beliau menambah bahawa pihak syarikat akan membayar sebanyak seribu ringgit kepada pihak kampung untuk setiap hari selama 15 hari mereka bekerja dan sekiranya pihak syarikat gagal membayar sejumlah lima belas ribu ringgit seperti yang dijanjikan, penduduk kampung boleh mendirikan semula sekatan tersebut.

Namun penduduk kampung semua bertegas untuk meneruskan sekatan mereka selagi permintaan-permintaan mereka tidak dipenuhi.

Berikut adalah permintaan utama kaum Penan di Long Meraan:-

1. Pihak Petronas bertanggungjawab untuk mengkaji semula dan mencari alternatif lain yang boleh mengelakkan dan mengurangkan kemusnahan alam sekeliling termasuk sungai-sungai yang merupakan nadi kehidupan kaum Penan.

2. Pihak Petronas bertanggungjawab dan harus menyediakan bekalan dan saluran air bersih kepada kampung Long Meraan kerana sumber air utama Long Meraan telah tercemar disebabkan aktiviti Syarikat Petronas.

3. Petronas perlu memberi arahan yang tegas kepada pegawai-pegawai syarikatnya atau syarikat sub-kontraktor mereka untuk mematuhi garis panduan menurut perjanjian awal seperti yang telah dimaklumkan oleh pegawai-pegawai Petronas sendiri sebelum ini.

4. Pihak Petronas perlu membayar ganti rugi yang setimpal dengan kerosakan dan kemusnahan alam sekeliling serta keperitan kehidupan kaum Penan. Pihak Petronas sepatutnya memberikan keutamaan kepada kaum Penan dan melihat perkara ini dari sudut keperimanusiaan dan bukannya keuntungan pihak mereka semata-mata.

Sekatan jalan masih kekal sehingga ke hari ini ekoran pihak syarikat masih berdegil dan tidak mengendahkan aduan daripada penduduk kampung Long Meraan.

S M Mohamed Idris
President

Join Donate