Selamatkan Pulau Pinang dari bencana

Stop hill cuttingPenduduk Sg Ara bersama Presiden CAP & SAM S.M. Mohamed dan staff membantah projek pembangunan berkepadatan tinggi di Sg Ara

SAM menyokong kenyataan akhbar di bawah dengan sepenuhnya.

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                            03 MAC 2016

CAP menggesa MBPP mempertimbangkan bantahan penduduk terhadap pembangunan

berkepadatan tinggi di Lot 586 & 675 Sungai Ara

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang  untuk mempertimbangkan dengan serius bantahan penduduk di Taman Siara 81 dan pemilik tanah berjiran terhadap pembangunan berkepadatan tinggi yang dicadangkan di Lot 586 dan 675 di Sungai Ara, Pulau Pinang.

Pemaju, Potensi Dual Sdn. Bhd. telah mencadangkan untuk membangunkan satu blok pangsapuri 34 tingkat yang mengandungi dua menara 25 tingkat pangsapuri mampu milik dan satu blok 25 tingkat pangsapuri kos sederhana rendah. Pembangunan ini juga terdiri daripada tempat letak kenderaan 7 tingkat, kedai pejabat 2 tingkat dan kemudahan masyarakat lain. Jumlah unit rumah yang dicadangkan adalah 750. 

Penduduk telah mengemukakan bantahan mereka terhadap pembangunan yang dicadangkan di sini berasaskan daya tampungan bagi kawasan tersebut, penggunaan jalan di kawasan perumahan, kurang keupayaan sistem perparitan yang sedia ada, ancaman kepada flora dan fauna di kebun dan bukit di sini, kemungkinan penutupan akses kepada jalan bukit yang popular digunakan untuk berbasikal dan berjalan kaki. 

Dasar kepadatan tinggi yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pada 2012, yang mana kepadatan projek perumahan telah ditingkatkan daripada 30 unit kepada 87 unit seekar adalah pokok masalah ini kerana ia akan membawa kepada kesesakan lebih teruk dan tidak mempertimbangkan dengan serius kapasiti sesuatu kawasan dalam Pulau ini. 

Baru-baru ini media melaporkan bahawa Majlis Bandaraya sedang menggubal dasar untuk meningkatkan lagi kepadatan kepada 122 unit setiap ekar berikutan arahan daripada Jawatankuasa Perancang Negeri. Adakah projek-projek berkepadatan yang lebih tinggi  ini untuk memenuhi permintaan rumah mampu milik atau pemaju? 

Kelulusan bagi pemaju untuk membina bangunan tinggi berkepadatan tinggi tanpa pertimbangan yang sewajarnya diberikan kepada alam semulajadi dan daya tampung akan mempunyai kesan buruk ke atas kebolehidupan dan kualiti hidup bukan sahaja penghuni tetapi juga orang lain di kawasan sekitar, seperti yang jelas dalam kes ini. 

Perubahan dan kadar pembangunan di Pulau Pinang yang kita saksikan sekarang adalah di luar kefahaman kami dan kami amat bimbang malapetaka semakin hampiri. Adakah idea kerajaan untuk memusnahkan atau menyelamatkan Pulau Pinang untuk generasi akan datang? 

Sudah tiba masanya bagi Kerajaan Negeri merenung arah yang kita tujui dan tentang kesan-kesan perubahan ini kepada alam semulajadi dan diri kita sendiri, rakyat Pulau Pinang. 

Rakyat Pulau Pinang, Selamatkan Pulau Pinang. Ia adalah di tangan anda sekarang. 

 

S.M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate