Sisi tersembunyi perladangan kilang ternakan

Battery cage chickens

 KENYATAAN AKHBAR                                                                                                  12 FEBRUARI 2015

Pengambilan daging semakin meningkat seiring dengan kemakmuran negara membangun. Hasilnya, ladang ternakan berskala besar kini semakin berkembang di seluruh wilayah. Bagaimanapun, terdapat peningkatan dalam kesedaran orang ramai terhadap keadaan haiwan yang diternak dan bagaimana ia dilayan.

Pigs in cagesBentuk yang ideal bagi ternakan haiwan adalah dengan membiarkan haiwan yang diternak itu merayau secara bebas, di mana haiwan itu dibenarkan hidup bebas dalam keadaan baik sebelum disembelih. Walau bagaimanapun, dengan bertambahnya permintaan untuk daging, ternakan secara bebas tidak lagi menjadi pilihan bagi kebanyakan penternak kerana kaedah ini memerlukan kawasan yang lebih luas dan padang ragut terbuka. 

Oleh sebab itu, ada para penternak yang memilih untuk menternak menggunakan kaedah perladangan kilang di mana haiwan diternak dalam ruang yang sesak tanpa ruang untuk bergerak malah tidak dapat berdiri atau mengepak sayapnya, terpaksa bergelumang dengan najis dan air kencing sendiri, tidak terdedah kepada udara luar atau cahaya matahari, dikendalikan secara kejam, disuntik dengan hormon dan antibiotik  serta mempunyai jangka hayat yang singkat memandangkan haiwan ini disembelih seberapa yang segera sebaik sahaja ia bersedia untuk dipasarkan. Seterusnya, ia juga berpotensi terdedah kepada pelbagai virus dan bakteria melalui baja dan air kencing dalam persekitarannya. 

Keadaan seperti itu menjejaskan keadaan fisiologi dan psikologi haiwan yang diternak itu dengan teruk sekali. Dari segi fizikal, haiwan ini dihalang daripada melakukan tingkahlaku semulajadi seperti berjalan, meregangkan anggota kaki dan tangan, bermandian dengan debu dan tingkah laku semulajadi lain. Dari segi psikologi pula, haiwan dalam perladangan ternakan kilang kecewa, bosan dan menderita sepertimana yang ditunjukkan melalui tindakan berulang-ulang dan/atau menyakiti diri. Ini jelas mencabuli Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan dalam Akta Binatang 1953 (Pindaan 2006) yang memperuntukan haiwan yang dikurung di dalam sangkar harus disediakan ruang yang munasabah untuk pergerakan.

Haiwan yang dikurung dalam keadaan yang tertekan cenderung untuk menyerang satu sama lain. Oleh sebab itu untuk mencegah kecederaan, haiwan ini dipotong paruh, kuku dan ekornya juga turut dipotong sehingga menjadi kontot. Anak babi turut menderita disebabkan ubat penahan sakit tidak digunakan dalam operasi ini. 

Perkara lain yang menjadi kebimbangan ialah pengangkutan haiwan yang diternak. Ianya merupakan salah satu aktiviti paling menderita yang dipaksakan ke atas haiwan ternakan. Haiwan berada dalam keadaan sesak di dalam lori dan trak, dan ayam-ayam ini dimasukkan dengan penuh sesak di dalam kotak plastik, kotak disusun tinggi di atas satu sama lain dan dihantar ke suatu destinasi yang jauh melalui keadaan cuaca yang ekstrim, biasanya tanpa makanan dan air untuk dibawa ke rumah penyembelihan. 

Kebajikan haiwan adalah satu isu yang semakin signifikan di seluruh dunia. Malah menjadi satu realiti yang amat menyedihkan bahawa di Malaysia ia masih ketinggalan jauh apabila melibatkan isu ternakan kilang kerana keutamaan adalah untuk keuntungan komersial berbanding kebajikan haiwan. Seperti yang dijangka, kebajikan haiwan tidak akan menerima keutamaan yang diperlukan dan tidak pernah tercapai seperti apa yang diharapkan oleh pertubuhan kebajikan haiwan dan NGO. 

Di negara lain, perubahan telah berlaku. Contohnya, pada 1 Januari 2012, negara Kesatuan Eropah (EU) telah mengharamkan ternakan ayam di dalam sangkar berasaskan kekejaman yang tidak dapat diterima. Undang-undang itu membenarkan tempoh 12 tahun untuk fasa keluar agar membolehkan penternak yang mengusahakan telur mempunyai masa untuk melaksanakan transisi daripada penggunaan sangkar. Kebanyakan petani di negara yang terlibat memilih sangkar yang diperkayakan dengan ruang yang lebih luas bagi membolehkan ayam meregangkan sayap mereka, bertenggek di atas platform dan sarang yang direka khusus untuk bersarang. Manakala yang lain mempunyai kandang atau sistem ternakan secara bebas yang lain tetapi undang-undang itu kini dengan jelas mahukan ayam-ayam itu berada di dalam sarang mereka. 

Di India, Lembaga Kebajikan Haiwan India (Animal Welfare Board of India - AWBI) dan kebanyakan Jabatan Penternakan telah menasihati semua kerajaan negeri dan penternak yang mengusahakan ternakan agar sangkar tidak digunakan dan sangkar yang sedia ada dihentikan penggunaan menjelang 2017. 

Kekejaman terhadap haiwan ternakan merupakan sebahagian daripada realiti yang mengerikan. Kini tiba masanya bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk meneliti Akta Kebajikan Haiwan Ternakan supaya mematuhi Pencegahan Kezaliman terhadap Haiwan dalam Akta Binatang dengan memperuntukan amalan terbaik dan meneruskan perubahan dalam peraturan dengan kebajikan haiwan menjadi pendorong yang kuat untuk meningkatkan peraturan. Perubahan amat diperlukan bukan hanya bagi haiwan tetapi untuk penternak yang perlu merancang untuk memberi keutamaan penuh kepada amalan kebajikan haiwan yang baik.  

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden 

Sahabat Alam Malaysia

Join Donate