Sumber perikanan di perairan Pulau Pangkor diancam kepupusan

Bot pukat jerutBot pukat jerut dengan spotlight di Pulau Pangkor

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                          28 JULAI 2015

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan Perak mengharamkan penggunaan spot light oleh nelayan pukat jerut di Pulau Pangkor kerana ia mengancam benih ikan di perairan pulau itu.

SAM dan CAP kesal walaupun masalah ini sudah lama berlaku dan menjejaskan sumber pendapatan 1,000 nelayan pantai di pulau tersebut namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan. 

Tinjauan kami mendapati lebih kurang 100 buah bot pukat jerut termasuk dari Kedah yang berpengkalan di Pulau Pangkor menggunakan spot light berkuasa tinggi ketika menjalankan operasi mereka pada waktu malam antara jam 7.00 petang hingga 5.00 pagi. Spot light ini boleh memancarkan cahayanya sehingga ke dasar laut. 

Alat tersebut dipasang atas bot dan dalam air bagi menarik perhatian dan memerangkap berbagai jenis ikan. Tetapi yang terperangkap sebahagian besarnya adalah anak ikan yang bersaiz kecil. Kebanyakan anak ikan yang menjadi mangsa penggunaan spot light ini ialah selar kuning, gelama, cencaru dan selayang. Anak-anak ikan ini dijadikan ikan baja kerana tiada nilai komersial di pasar dan dengan itu dijual kepada pengusaha projek akuakultur. 

SAM dan CAP kesal dan bimbang dengan keadaan ini dan jika dibiarkan boleh menyebabkan sumber perikanan di perairan Pulau Pangkor mengalami kepupusan serta mengancam kehidupan nelayan pantai di kawasan itu di samping menggugat sektor perikanan negara. 

Sehubungan itu kami menggesa alat ini diharamkan penggunaannya oleh Jabatan Perikanan bukan saja di negeri Perak tetapi juga di seluruh negara demi menjamin sumber protein dan bekalan makanan untuk rakyat mencukupi pada masa akan datang. 

SAM dan CAP turut menggesa Jabatan Perikanan Perak dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat rondaan lebih kerap dan menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas dan berkesan bagi mengawal pencerobohan bot pukat tunda tempatan di zon tangkapan nelayan pantai Pulau Pangkor yang sering berlaku pada waktu malam. 

Masalah penggunaan spot light dan pencerobohan bot pukat tunda di Pulau Pangkor telah beberapa kali diadukan kepada pihak berkuasa berkenaan namun kedua-dua masalah itu masih berlarutan hingga kini dan semakin serius di hadapi oleh nelayan-nelayan pantai yang terlibat.

 

S.M MOHAMED IDRIS

Presiden  

SAM & CAP

Join Donate