Tapak pelupusan di Teluk Mengkudu, Perak: Adakah ia pembuangan sampah haram?

Teluk Megkudu dump siteTeluk Mengkudu dump site

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                             06 MEI 2015

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) terkejut menemui tempat pembuangan sampah di Teluk Mengkudu dalam tinjauan kami di daerah Manjung di negeri Perak. Kami bingung kerana Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 29 Ogos 2013 telah menolak Laporan Terperinci Penilaian Kesan Alam Sekitar (DEIA) untuk tapak pelupusan sanitari tahap 4 yang akan dibangunkan di tanah milik kerajaan negeri di Teluk Mengkudu dalam mukim Pengkalan Baharu.

Tidak ada petunjuk di laman web JAS bahawa DEIA telah dipinda, dikemukakan kepada JAS dan kemudiannya diluluskan. Kami mendapati lori sampah Majlis Perbandaran Manjung membuang sisa pepejal di kawasan berpagar dan difahamkan bahawa operasi itu bermula awal tahun ini. Beberapa lori persendirian dengan sampah juga didapati dalam perjalanan ke tapak tersebut untuk membuang sisa dengan bayaran yang rendah. 

Oleh kerana ia tidak jelas bahawa laporan DEIA projek itu diluluskan, kami tidak faham bagaimana Majlis Perbandaran Manjung boleh memulakan operasi di sini? Selain itu, kami mendapati tidak ada keprihatinan terhadap alam sekitar kerana nampaknya tiada pelapik (liner) tapak pelupusan, kolam rawatan larut resapan atau pengumpulan gas tapak pelupusan untuk dirawat. Ironinya di sepanjang jalan kuari ke tapak buangan di mana terdapat kolam bekas lombong, papan tanda telah diletakkan oleh kerajaan untuk melarang pembuangan sisa. 

Bagaimanapun dalam kes ini, pihak berkuasa tempatan sendiri akan didapati bersalah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang jika ia dibuktikan bahawa Majlis Perbandaran Manjung telah melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Seksyen 34A (8) Akta 127 menyatakan "Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan denda tambahan sebanyak satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas notis oleh Ketua Pengarah menghendakinya mematuhi tindakan yang dinyatakan di dalamnya telah disampaikan kepadanya." 

Kami telah melaporkan kepada pihak JAS untuk menyiasat perkara ini dan kini menunggu jawapan daripada JAS. Kami berminat untuk mengetahui apakah tindakan yang akan diambil oleh JAS jika didapati bahawa Majlis Perbandaran Manjung memang melanggar undang-undang. 

Ia adalah amat mengecewakan apabila entiti yang sepatutnya menggalakkan kepentingan masyarakat tempatan termasuk perlindungan alam sekitar, didapati melakukan suatu kesalahan. Kami menggesa pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menghentikan pembuangan sisa secara terbuka ini dan lebih bertanggungjawab.

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden 

Signboard to dumpsite

Garbage truck belonging to Majlis Perbandaran Manjung dumping waste 

Join Donate