Tidak tahu bukan alasan untuk makan telur penyu

SURAT KEPADA PENGARANG                                                                                    19 NOVEMBER 2015

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendapati maklum balas daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar mengenai hidangan telur penyu di dalam satu majlis di sebuah restoran di Sabah baru-baru ini amat mengecewakan sekali.

Jika hidangan telur penyu tidak dimasukkan ke dalam senarai menu itu adakah ia akan dihidangkan kepada tetamu yang duduk bersebelahan dengan Menteri atau ia adalah hidangan hadiah daripada restoran itu?  
 
Kenapa hidangan itu dihidangkan jika tiada seorang pun berminat untuk memakan telur penyu itu? Adakah telur penyu itu makanan istimewa yang dihidangkan itu sebagai pameran atau sebagai pembuka selera untuk menyemarakkan lagi selera mereka yang hadir pada majlis jamuan makan malam itu? Adalah sesuatu yang aneh apabila hidangan itu dipesan tanpa sesiapa mengisi perut dengan telur penyu itu.
 
Ini bukanlah insiden yang pertama kali berlaku. SAM mendapati pada Mac 2009 penguatkuasa undang-undang dari Bukit Aman dan Polis Sarawak didapati menghidangkan makanan istimewa yang diharamkan ketika salah satu majlis makan malam rasmi mereka. Mereka bukannya orang awam tetapi pegawai kanan polis yang diberikan kepercayaan untuk menjaga undang-undang negara. Tidak dapat dibayangkan perkara ini datangnya daripada institusi yang ditugaskan untuk melindungi dan mendukung undang-undang. Walaupun laporan bahawa ini adalah satu amalan yang amat tidak baik, tiada siapa pun yang didakwa.
 
Apakah harapan bagi penyu ini untuk menggandakan bilangan populasinya jika manusia terus melahap telurnya? Dieksploitasi sejak berdekad sehingga populasi penyu telah mencapai paras kritikal dan ‘eksploitasi telur’ yang berterusan akan membawa kepada kepupusan. Melihat penyu di perairan kita tidak bermakna bahawa semuanya dalam keadaan baik dan adalah tidak salah untuk memakan telurnya.
 
Ia mengambil masa 20 hingga 50 tahun untuk penyu dewasa menjadi matang sebelum ia boleh membiak. Apabila ia mati dan jika semua telurnya dimakan, seluruh populasinya akan pupus. Ia juga sedang berdepan dengan ancaman kepupusan. Ia diburu untuk daging dan cengkerangnya, mati akibat pencemaran dan penangkapan haram oleh nelayan asing, mati akibat terperangkap di dalam jaring, kemusnahan tempat bertelur disebabkan oleh pembangunan pinggir pantai, semuanya membawa kepada kadar kelangsungan hidup yang rendah. Dan seperti kawalan ke atas perdagangan gading, pengambilan telur penyu juga perlu diharamkan.
 
Adalah menjadi satu ironi walaupun ia bertentangan dengan Akta Perikanan untuk membunuh penyu kerana ia adalah haiwan terancam oleh kepupusan, ia adalah sesuatu yang sah untuk mengambil telurnya. Pada masa ini, undang-undang negeri yang mengawal penyu laut adalah terpisah-pisah, tidak seragam dan undang-undang negeri tidak mengenakan pengharaman sepenuhnya ke atas penjualan dan pengambilan telur penyu. Malah undang-undang ini mempunyai peruntukan yang lemah dan tidak matang berhubung perlindungan habitat penyu. Di samping negeri tidak meletakkan perlindungan dan pemuliharaan penyu sebagai keutamaan.
 
Sehubungan itu, mestilah terdapat undang-undang negeri yang seragam yang sering menemui halangan dan maklum balas yang tidak bersemangat dari kerajaan negeri. Undang-undang amat diperlukan memandangkan undang-undang negeri yang sedia ada tidak mencukupi dalam memenuhi pemuliharaan penyu.
 
SAM menggesa kerajaan mengenakan pengharaman ke atas penjualan dan pengambilan telur penyu melalui hukuman yang sewajarnya, mengenakan hukuman denda dan penjara bagi penjualan dan hukuman denda dan penjara bagi mereka yang membeli dan memakannya.
 
Malaysia memerlukan kompromi berhubung dasarnya dalam menyelamatkan penyu daripada kepupusan dengan tidak membenarkan peniaga menjual telur penyu yang hanya akan menggalakkan negara jiran memburu telur penyu untuk dijual di Malaysia. Pada masa yang sama kita juga menggalakkan telur penyu dari negara lain membanjiri pasaran dan dengan itu menjejaskan usaha kita untuk menyelamatkan penyu.
 
Kerajaan perlu menghentikan perlanggaran dasar pemuliharaan spesies terancam kita dalam apa jua cara. Undang-undang yang melarang pemilikan, mengumpul dan mengambil hidupan liar yang dilindungi seperti penyu dan telurnya mestilah dipatuhi oleh semua orang dan menteri serta penggubal dasar dengan tiada alasan untuk menolak undang-undang dengan mendakwa tidak tahu.
 
 
 
S M Mohamed Idris
Presiden 
 
Join Donate