Tingkatkan Suara Anda, Bukan Aras Laut

World Enviro Day 2014S.M. Mohamed Idris, Presiden SAM di sebuah sidang akhbar sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2014

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                            04 JUN 2014  

Esok, lima Jun adalah Hari Alam Sekitar Sedunia dan tema tahun ini ialah “Tingkatkan Suara Anda, Bukan Aras Laut”, memberikan tumpuan kepada pulau kecil dan perubahan iklim. Menurut Laporan Penilaian Kelima IPCC yang dikeluarkan baru-baru ini, suhu permukaan lautan dan daratan dunia telah meningkat hampir 1C sejak 1901 (purata global 0.89oC), terutamanya kerana aktiviti manusia.

Adakah kita di Malaysia perlu bimbang mengenai perubahan iklim dan peningkatan paras laut? Dengan 4,800 km pantai, kita di Malaysia juga perlu bimbang dan prihatin kerana peningkatan paras laut dijangka meningkatkan kejadian banjir, ribut, hakisan dan lain-lain ancaman kepada pantai.   Dalam tempoh beberapa tahun lepas, Malaysia telah pun mengalami peningkatan dalam intensiti, tempoh dan kekerapan kejadian ribut, banjir dan kemarau.

Kajian Indeks Vulnerabiliti Pantai Kebangsaan (NCVI) 2007 menilai kemudahancaman kawasan pantai di Malaysia kepada peningkatan paras laut. Data peningkatan paras laut yang dikumpulkan dalam tempoh 20 tahun (1986-2006) di Tanjung Piai, Johor menunjukkan kadar peningkatan 1.3 mm/tahun. Apabila hasil kajian NCVI ditindihkan dengan ramalan paling tinggi global (kes paling buruk) untuk SLR 10 mm/tahun (1 meter menjelang akhir abad), adalah dianggarkan 1,820 hektar tanah pantai di Tanjung Piai dan 148 hektar di Pantai Cenang, Langkawi akan ditenggelami air.[1]

Perubahan iklim merupakan satu petunjuk terhadap masalah yang lebih besar iaitu penggunaan, penghasilan dan gaya hidup yang tidak mapan. Ini ditunjukkan oleh penggunaan tenaga yang tidak boleh diperbaharui; eksploitasi hutan dan ekosistem semula jadi kita; kaedah pertanian, perikanan dan pemakanan kita yang tidak mapan; kegilaan kita terhadap pembangunan; tabiat tidak mapan kita dalam menggunakan sumber alam dan membuangnya sebagai sisa.

Aktiviti manusia, terutama sekali pembakaran bahan api fosil sejak bermulanya Revolusi Industri telah meningkatkan kepekatan Karbon Dioksida (CO2) atmosfera. Penebangan hutan dan perubahan penggunaan tanah lain juga melepaskan karbon dari biosfera. Oleh itu sebagai langkah pencegahan, kita memerlukan tindakan bersepadu untuk menghadkan pertumbuhan permintaan tenaga, memperbaiki kecekapan tenaga, meningkatkan penggunaan tenaga diperbaharui dan mencari cara untuk meminimumkan pelepasan daripada perubahan penggunaan tanah, contohnya, dengan memastikan pertanian bebas bahan kimia dan rendah karbon.

Sektor pengurusan sisa yang merupakan sumber pelepasan gas rumah hijau global (GHG) boleh menjadi penyumbang utama kepada kawalan perubahan iklim. Pengkomposan merupakan salah satu strategi penting untuk mengawal pelepasan GHG. Apabila bahan terbuang dikitar semula, ia menyediakan industri dengan sumber alternatif bahan mentah untuk membuat produk baharu. Ini menghasilkan permintaan yang kurang untuk bahan mentah di mana pengeluaran, pengangkutan dan pemprosesan merupakan sumber utama pelepasan GHG. Pengitaran semula mengurangkan pelepasan dalam semua industri ekstraktif: perlombongan, perhutanan, pertanian dan pengeluaran petroleum.

Makanan merupakan pendorong kepada perubahan iklim. Pengeluaran makanan, pembungkusan berlebihan, pemprosesan dan pengangkutan merupakan separuh daripada semua pelepasan GHG yang dijana oleh manusia.[2]  Baja kimia, jentera berat dan teknologi ladang yang bergantung kepada petroleum juga turut menyumbang dengan ketara. Sistem makanan baharu dengan menstrukturkan semula pertanian dan sistem makanan besar sekitar jaminan makanan, pertanian berskala kecil, pertanian ekologi dan pasaran tempatan boleh menyumbang kepada pengurangan pelepasan GHG global.

Pasir dan kelikir dilombong di seluruh dunia dan merupakan jumlah terbesar bahan pepejal yang dikeluarkan di seluruh dunia. Ia dilombong pada kadar yang jauh lebih besar berbanding pembaharuannya. Peningkatan pergantungan kita dan kesan ketara pengeluaran sumber asli ini ke atas alam sekitar biasanya tidak dipedulikan. Contohnya projek tebus guna tanah di pantai Pulau Pinang seperti di Jelutong, Tanjung Tokong, Batu Uban memerlukan berjuta tan batu dan pasir.

Dengan kadar perbandaran yang semakin meningkat, lebih banyak jalan dibina untuk memudahkan pergerakan manusia dan barangan. Terdapat peningkatan dalam pemilikan kenderaan dan oleh itu sektor pengangkutan juga menjadi sumber yang ketara dalam pelepasan GHG. Bahan api yang digunakan oleh kapal terbang, pengangkutan marin dan pertumbuhan perdagangan antarabangsa yang semakin meningkat juga menjadi sumber utama pelepasan global. Pelbagai langkah diperlukan untuk mengurangkan pertumbuhan dan kesan pelepasan GHG  ini seperti usaha untuk menggalakkan teknologi kenderaan cekap tenaga, menggalakkan corak perjalanan dan penggunaan tanah yang cekap, dan memajukan alternatif kepada bahan api berasaskan petroleum.

Pada umumnya, paras karbon dioksida dan gas rumah hijau lain di atmosfera bumi terus meningkat. Jelas bahawa pada masa depan iklim akan menjadi lebih panas, paras laut akan meningkat, corak taburan hujan global juga akan berubah dan ekosistem akan berubah. Perjanjian antarabangsa peringkat tinggi sahaja tidak akan menghentikan perubahan iklim.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan bersepadu oleh semua sektor untuk mengurangkan pelepasan GHG dan memerangi perubahan iklim. Keperluan komuniti miskin yang mudah terjejas mestilah juga ditangani supaya mereka boleh menyesuaikan dengan kesan perubahan iklim.

Tingkatkan Suara Anda untuk Keadilan Iklim!

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden CAP dan SAM


[1] Malaysia’s Second National Communication (NC2) diserahkan kepada United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC).

[2] Food and Climate Change: The Forgotten Link. GRAIN 2011  

Join Donate