Tumpahan minyak di Pulau Pinang: Satu bencana dan Juga kejadian biasa

picture of oil spillM. Ravi (seorang nelayan) menunjukkan gambar tumpahan minyak yang telah menjejaskan bot En M Ravi di tepi pantai di Jalan Sultan Ahmad Shah semalam. Gambar oleh Sayuti Zainudin, akhbar Malay Mail.

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                             30 MEI 2016         

Tumpahan minyak di Pulau Pinang  baru-baru ini yang dilaporkan telah mencemar persisiran pantai sepanjang 5km di pulau ini, bermula dari Jeti Swettenham ke Gurney Drive adalah satu kebimbangan utama. Di samping bencana tumpahan minyak ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa untuk juga menyiasat dan mengambil tindakan ke atas tumpahan minyak yang telah berlaku di perairan Pulau Pinang pada bulan-bulan kebelakangan ini.

Wawancara SAM dengan nelayan di Jeti Paramount dekat Jalan Sultan Ahmad Shah beberapa minggu lalu mendedahkan bahawa pantai itu telah tercemar akibat tumpahan minyak dipercayai dilepaskan dari kapal. Menurut nelayan, sumber pencemaran tidak dapat dikenal pasti kerana pelepasan biasanya berlaku pada waktu malam. Nelayan melaporkan bahawa pada awal pagi, kesan-kesan tampak minyak boleh diperhatikan di pantai. 

Tumpahan minyak menyebabkan kemudaratan besar kepada ekosistem, hidupan laut dan burung laut. Selain itu terdapat juga kerugian ekonomi, terutamanya bagi nelayan. Terdapat peraturan yang melarang pelepasan minyak atau campuran berminyak dari kapal-kapal untuk mencegah pencemaran oleh minyak. Oleh itu pihak berkuasa yang bertanggungjawab perlu meningkatkan mekanisme pemantauan dan menguatkuasakan peraturan-peraturan. 

Oil on crab basketGambar minyak daripada tumpahan minyak yang terlekat kepada bakul ketam M Ravi. Gambar Sayuti Zainudin, akhbar Malay Mail

Selain itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengadu bahawa ia telah dimaklumkan mengenai tumpahan minyak kira-kira 24 jam selepas kejadian itu berlaku. Dalam kes ini, Jabatan Alam Sekitar mempunyai tanggungjawab menyeluruh terhadap respons tumpahan minyak dengan peranan operasi utama jatuh kepada Jabatan Laut. Walaupun kerajaan persekutuan mempunyai bidang kuasa ke atas respons tumpahan minyak, Kerajaan Negeri perlu dimaklumkan dengan segera kerana akhirnya kerosakan alam sekitar dan kerugian menjejaskan penduduk negeri. 

Di samping bertindak balas kepada tumpahan minyak yang besar ini, SAM menggesa siasatan terhadap dakwaan pelepasan minyak dari kapal-kapal yang telah berlaku pada bulan-bulan kebelakangan ini. Selain menuntut pampasan bagi kos operasi pembersihan di laut dan di pantai, pihak berkuasa yang bertanggungjawab juga perlu mengambil kira kos untuk membaikpulih alam sekitar dan juga kerosakan yang dialami oleh nelayan dan sektor-sektor lain. 

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

 

Join Donate