200 nelayan pantai Changkat diancam pencemaran

Keadaan air sungai di Changkat yang hitam pekat, busuk dan berminyak     gambar : SAM 

Kenyataan Akbar                                   26 April 2019

Lebih kurang 200 nelayan pantai di Changkat daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Pulau Pinang terjejas sumber pendapatan mereka berikutan masalah pencemaran sungai dan laut yang semakin serius berlaku di kawasan itu.

Kejadian tersebut yang sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu gagal diambil tindakan oleh kerajaan negeri ini dan jabatan yang terlibat walau pun berpuluh aduan telah dikemukakan oleh nelayan terbabit termasuk SAM.

Masalah itu bukan saja telah menyebabkan ikan,udang,kerang,siput,sotong dan ketam yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan pantai di sini semakin berkurangan tetapi paling membimbangkan SAM ialah hasil tangkapan mereka kadang kala merosot mencecah 70% ketika ini.

Beginilah keadaan air sungai di Changkat daerah Seberang Perai Selatan, P.Pinang           Gambar : SAM 

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati air sungai dan laut di kawasan berkenaan terlalu kotor dan berbau busuk. Di samping warnanya yang hitam pekat dan berminyak berbagai bahan buangan termasuk plastik terapung memenuhi permukaan air serta mendap di dalam lumpur.

Keadaan tersebut berlaku dipecayai berpunca dari pelepasan sisa buangan dari kilang kelapa sawit,ladang ternakan ayam serta tapak pelupusan sampah yang terdapat di daerah itu.

SAM amat kesal walau pun kejadian ini sudah lama mencemarkan alam sekitar dan mengancam hidupan laut serta kehidupan nelayan di daerah berkenaan namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

SAM percaya jika keadaan ini terus dibiarkan nelayan-nelayan pantai di kawasan tersebut yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan sungai dan laut di sini akan terputus mata pencarian mereka sekali hilang sumber pendapatan bagi menyara kehidupan keluarga.SAM turut bimbang hutan paya bakau yang terdapat di kawasan itu juga akan terancam dan musnah jika pencemaran ini  berterusan.

Justeru SAM menggesa kerajaan Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),Jabatan Alam Sekitar (JAS),Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perkhidmatan Viterinar (JPV) bertindak segera bagi menangani masalah ini.Undang-undang yang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan pemantauan yang berterusan hendaklah dilakukan oleh pihak berkenaan dengan lebih kerap agar kejadian ini tidak berulang.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate