“Kebenaran yang Pahit” Di sebalik Perdagangan Daging Anjing dan Kucing

Surat Kepada Pengarang                        3 Mei 2019

Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat terkejut mendapati budaya memakan daging anjing dan kucing yang berlaku di Malaysia dengan warganegara Vietnam menjual daging anjing dan kucing di Selangor dan Johor Bahru. Kecenderungan ini juga berlaku dalam kalangan sekumpulan lelaki Indonesia di Shah Alam yang membunuh anjing liar dengan parang yang kemudiannya dagingnya dimasak untuk dimakan.

Penerbitan video yang menunjukkan pekerja daripada syarikat pembuatan keluli menyeksa dan membunuh anjing amat menakutkan. Syarikat itu telah memohon maaf berikutan kritikan daripada pengguna media sosial. Walaupun syarikat itu mengesahkan mengambil tindakan berhubung insiden itu yang disiarkan dalam laman facebook mereka, SAM masih belum menerima sebarang kenyataan bertulis daripada mereka.

Amat sedih untuk mengetahui Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) semasa tidak melarang pembunuhan haiwan termasuk anjing dan kucing bagi tujuan pengambilan manusia. Bagaimanapun, memakan daging anjing dan kucing mestilah tidak dikecualikan sebagai satu hak istimewa budaya. Memotong anggota haiwan hidup dan menyembelihnya adalah satu perbuatan kejam dan bukanlah satu budaya malah ia sesuatu yang tidak bertamadun dan ia merupakan pokok kepada isu ini. Budaya dan tradisi boleh digunakan sebagai alasan bagi semua tindakan mengerikan terhadap manusia serta haiwan, tetapi sebenarnya ia sering digunakan sebagai tirai bagi tingkah laku kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Perdagangan daging anjing dan kucing adalah penderaan haiwan pada skala besar dan kekejaman yang tidak boleh bertolak ansur. Tiada pengiktirafan jelas daging anjing dan kucing sebagai makanan sah, atau anjing atau kucing sebagai haiwan yang layak untuk dimakan manusia, mahupun terhadap pengharaman yang jelas terhadap penjualan dan penyembelihan haiwan ini.

Kaedah dan cara haiwan ini dibunuh di dalam keadaan seperti itu seharusnya tertakluk kepada peruntukan undang-undang kebajikan haiwan. Jika pembunuhan haiwan itu menyebabkan kesakitan yang tidak sewajarnya atau menyebabkan haiwan itu tidak mati dengan segera, ia merupakan kesalahan di bawah peruntukan kekejaman umum daripada undang-undang itu.

Perhatian mestilah diberikan kepada jenayah kecurian haiwan peliharaan sendiri. Mereka yang memperdagangkan daging anjing dan kucing lebih menyukai haiwan peliharaan disebabkan ia mudah untuk dikendalikan berbanding anjing dan kucing liar. Ini boleh menjadi jawapan kepada beberapa kehilangan haiwan peliharaan – ia berakhir sebagai makanan.

SAM ingin mempersoalkan kesahan memakan daging. Pihak berkuasa manakah bertanggungjawab memberikan permit kepada orang asing ini untuk memulakan penjualan daging anjing dan kucing di sini? Adakah terdapat sebarang pensijilan daripada Jabatan Kesihatan untuk mengesahkan bahawa daging ini selamat untuk dimakan? Agensi kerajaan manakah yang akan dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sebarang wabak penyakit daripada pencemaran virus daging ini? Kerajaan tidak mengawal anjing dan kucing sepertimana yang dilakukan ke atas haiwan ternakan lain, jadi daging haiwan ini tidak berada di bawah undang-undang kebersihan makanan atau daging dan tidak tertakluk kepada kawalan di sumber mahupun diuji sebelum pengambilan oleh manusia.

SAM percaya pengambilan daging anjing dan kucing perlu dilarang dalam undang-undang. Anjing dan kucing mendapat tempat khusus dalam masyarakat Malaysia sebagai haiwan pel;iharaan memakan dagingnya adalah sat kesalahan kepada nilai budaya Malaysia. Memandangkan kepada banyak kebimbangan oleh badan kebajikan haiwan dan kesihatan awam, SAM amat tidak menggalakkan pengambilan dan perdagangan daging anjing dan kucing. SAM menggalakkan penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada dengan lebih ketat dan menyokong kawalan dan peraturan baharu di mana undang-undang semasa tidak ada yang bertujuan mengharamkan apa yang dianggap amalan keji dan tidak berperikemanusiaan terhadap pelaku perdagangan ini.

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Sahabat Alam Malaysia

Join Donate