Kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan mengenai Lynas Tidak Dapat Diterima

Kenyataan Akhbar                                  3 April 2019

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) agak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof bahawa Lynas Malaysia tidak seharusnya diarahkan menghantar semula  sisanya ke Australia, memandangkan pelaburan kilang itu “terlalu besar untuk diketepikan.”

Bagi kami, kenyataan Menteri berkenaan tidak dapat diterima sama sekali kerana ternyata beliau lebih mengutamakan keuntungan syarikat berbanding keselamatan penduduk Malaysia dan alam sekitar.

Tambahan pula, bukanlah menjadi mandat Menteri Pembangunan Usahawan untuk campur tangan dalam bidang kuasa Kementerian Tenaga, Sains dan Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Cuaca (MESTECC), yang bertanggungjawab mengendalikan sisa toksik dan bahan radioaktif yang dikeluarkan oleh kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.

Kami menyokong penuh keputusan MESTECC yang meminta kilang Lynas dipindahkan dan membuang sisa radioaktifnya dalam proses Water Leach Purification (WLP),  selaras dengan dua surat yang diberikan oleh syarikat kepada kerajaan pada Februari dan Mac 2012.

Menteri berkenaan sepatutnya menyokong usaha yang dilakukan oleh Menteri MESTECC, Yeo Bee Yin, dengan memastikan Lynas mematuhi arahan kerajaan.

Tindakan Datuk Seri Mohd Redzuan menyebelahi Lynas sememangnya tidak boleh diterima!

Selama ini SAM dan CAP berulang kali menggesa agar sisa berkenaan dieksport memandangkan ia tidak boleh dianggap bahan radioaktif yang berlaku secara semula jadi tetapi pada hakikatnya  dipertingkatkan secara teknologi yang berbahaya melalui proses teknologi yang membabitkan penyingkiran dari tanah dan pemekatan melalui proses kimia dan mekanikal.

Dakwaan bahawa unsur radioaktif seperti uranium dan thorium dalam WLP boleh dicairkan dan kurang beradioaktif adalah tidak berasas. Memandangkan uranium dan thorium serta “anak-anaknya” mempunyai jangka hayat berbilion tahun, pilihan terbaik untuk menjaga kesihatan awam ialah dengan menghantar semula sisa tersebut ke Australia agar kerajaan Malaysia tidak perlu bertanggungjawab untuk mengurus sisa ini, yang akan kekal sebagai bahan beradioaktif dalam tempoh yang panjang.

Sehubungan itu, kami menyeru kepada semua Menteri Kabinet agar berpendirian tegas dalam menuntut Lynas mengangkut sisa radioaktif keluar dari Malaysia, sementara kilang itu sendiri mesti menghentikan  opreasinya dengan seberapa segera yang boleh.

 

S.M. Mohamed Idris

Presiden

Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Join Donate