Masalah pembuangan sisa secara haram di beberapa jalan ban sekitar Seberang Perai Selatan (SPS): Sampai bila ?

Kenyataan Akbar                                    8hb Mei 2019

Pembuangan sisa domestik, sisa pembinaan serta sisa kilang di beberapa  kawasan khususnya di jalan ban kini seolah-olah menjadi trend di kalangan pihak-pihak tertentu sebagai langkah alternatif untuk memudahkan kerja dan tenaga. Mungkin dengan kaedah ini lebih menjimatkan kos berbanding dibuang ke tapak pelupusan sisa yang sah.

Masalah yang berlaku ini adalah disebabkan oleh tiada tindakan berkesan yang serius diambil oleh pihak berkuasa  terutamanya Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang  bagi mengatasi masalah yang dibangkitkan oleh orang awam.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang serius tentang kes pembuangan sisa yang berlaku di beberapa jalan ban sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS), bermula dari  jeti nelayan Changkat, Nibong Tebal sehingga jalan pintas ke Batu Kawan Industrial Park (BKIP), melalui jalan ban berdekatan kawasan perindustrian Valdor, Sungai Bakap.

(rujukan google maps kawasan Valdor: https://www.google.com/maps/@5.233857,100.4686564,595m/data=!3m1!1e3)

pembuangan sampah di jalan ban Sungai Tengah, Changkat, Nibong Tebal,  masalah ini sebenarnya  telah lama berlaku namun disebabkan tiada pemantauan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa serta tiada sebarang tindakan yang dikenakan ke atas pelaku maka pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit dengan senang hati meneruskan aktiviti mereka dan mengambil jalan mudah dengan menjadikan kawasan tersebut sebagai tapak pembuangan secara haram.

Ramai dari kalangan komuniti nelayan dan orang awam yang melalui jalan ini memberi pelbagai reaksi dan pandangan tentang perkara tersebut. Ada di antara mereka mempersoalkan tentang jangka hayat deretan pokok bakau di kawasan berkenaan, namun tidak kurang juga ada yang turut mempersoalkan tentang kebersihan di sekitar kawasan terbabit. Adakah kerana lokasi tersebut agak tersorok maka ia dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti pencemaran?

SAM khuatir jika masalah ini tidak diatasi dengan tindakan lebih tegas, berani dan drastik, dikhuatiri pelbagai masalah lain yang melibatkan isu alam sekitar akan berlaku di masa akan datang.

Sehubungan itu SAM menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Adun Kawasan, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang perlu turun padang, menyiasat dan mengambil perhatian serius bagi mengatasi masalah pembuangan sisa-sisa domestik dan pukal di kawasan ini.

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate