Agroekologi : Mampu Menjamin Bekalan Makanan Dunia

Agroekologi : Mampu Menjamin Bekalan Makanan Dunia

Di Kampung Sungai Berit, sebuah kampung kecil di Marudi, Sarawak, keluarga dengan jumlah isirumah seramai sembilan orang bergantung kepada tanah seluas 2 ekar untuk mencari rezeki. Selama bertahun-tahun, pertanian telah menjadi cara hidup Siah Ak Usat, 46 dan suaminya Klaus Ak Ipor, 56, pasangan dengan empat anak dan tiga cucu, yang gigih dan rajin berusaha. Sehingga baru-baru ini, Siah dan Klaus, dari etnik Kenyah dan Iban, hanya menggunakan baja kimia untuk mengusahakan kebun mereka.

Pada bulan Februari tahun ini, SAM telah menganjurkan bengkel agroekologi dan agroperhutanan di Pusat Latihan dan Nurseri di Lubuk Nibong. Seramai 27 peserta, yang semuanya mempunyai kebun di wilayah adat mereka, menghadiri bengkel ini. Dua daripada pesertanya adalah Siah dan Klaus. Di bengkel ini, untuk pertama kalinya mereka belajar mengenai kaedah yang baik dan mampan dalam pengeluaran dan penggunaan makanan serta kesan penebangan hutan terhadap iklim. Siah dan Klaus belajar membuat tiga jenis baja organik iaitu mikroorganisma berkesan (Farmers Effective Microorganisms), asid amino ikan dan baja cacing yang murah dan bebas daripada bahan kimia, dan yang akan memberikan hasil pengeluaran yang lebih tinggi. Selain demonstrasi dan latihan di bengkel ini, para peserta juga berkongsi tentang masalah dan penyelesaian bagi kerosakan tanaman akibat cuaca melampau dan kehadiran perosak.

Dilengkapi dengan pengetahuan ini, kedua-dua Siah dan Klaus mengamalkan apa yang telah mereka pelajari. Mereka berhenti menggunakan baja kimia dan mula membuat baja organik mereka sendiri dan menggunakannya pada tanaman mereka, terutama jenis sayur-sayuran asli seperti ensebi, terung iban, sawi pahit dan jagung. Dua bulan kemudian, mereka melihat bahawa ladang mereka membuahkan hasil yang lebih tinggi, sesuatu yang belum pernah mereka lihat sebelumnya.

Siah menjual semua sayur-sayurannya setiap hari di pasar tempatan di Marudi, dan berkata "dengan hanya RM50.00 dibelanjakan untuk membeli bahan mentah untuk membuat baja organik, kami menjual semua sayur-sayuran kami dan memperoleh keuntungan sebanyak RM800.00." Siah mengatakan bahawa semua hasil dari ladangnya adalah untuk keperluan keluarga dan selebihnya dijual di pasar. Siah menambah, "ini adalah pertama kalinya kami menuai sayur dengan banyak."

Pendapatan dari kebun ini sahaja tidak mencukupi untuk Siah dan keluarganya tetapi ia meletakkan makanan di meja mereka supaya mereka tidak kelaparan. Siah dan Klaus sangat bersemangat  mengembangkan kebun mereka untuk menanam tanaman lain di tanah mereka. Mereka telah meminta pertolongan SAM untuk melakukan ini. Tidak ada petani lain di rumah panjang tempat mereka tinggal menggunakan kaedah pertanian asli di kebun mereka. Nasihat Klaus kepada petani lain, “beralihlah dari bahan kimia kepada baja organik seperti yang kami pelajari. Anda akan melihat perbezaan pada tanah dan tanaman anda. Anda juga akan mendapat hasil yang lebih tinggi."

SAM telah memperkenalkan agroekologi kepada banyak petani kecil di wilayah Baram, Sarawak. Komuniti Sungai Buri di Bakong, Long Miri dan Long Pilah, Telang Usan di Miri semuanya mendapat manfaat daripada projek agroekologi. Ciri utama agroekologi yang diperkenalkan SAM kepada masyarakat termasuk menjaga kesuburan tanah melalui langkah-langkah organik dan mengurangkan pergantungan pada agrokimia. Model ekologi pengeluaran pertanian yang berdasarkan pada prinsip-prinsip menjamin tanah yang sihat, menggalakkan kepelbagaian biologi dan yang mengutamakan pengetahuan petani dan tradisional, boleh membantu dalam meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim. Tanah yang sihat dan kepelbagaian ekosistem juga boleh menyesuaikan dan bertahan kepada kemunculan penyakit baru atau peningkatan jumlah perosak dalam keadaan perubahan iklim.

Projek agroekologi dan agroforestri SAM di Sarawak bukan sahaja membantu masyarakat pribumi mempertahankan wilayah adat mereka, mereka juga memastikan bahawa dengan melindungi hutan, masyarakat akan terus dibekalkan dengan hampir semua sumber yang mereka perlukan termasuk makanan, air, kayu, bahan bakar, tempat tinggal, biodiversiti, benih, madu, buah-buahan, ubat-ubatan dan makanan untuk ternakan. Ini adalah kedaulatan makanan, hak masyarakat untuk menentukan sistem makanan dan pertanian tradisional mereka sendiri.

Hari ini, sempena Hari Perjuangan Petani Kecil Antarabangsa, kami menggesa kerajaan Malaysia untuk menghormati hak semua petani kecil, menggubal dasar agroekologi, sasarkan untuk memenuhi tahap sara diri dalam pengeluaran makanan dengan meningkatkan kapasiti tempatan, memperuntukkan dana untuk menyokong petani kecil yang terlibat dalam pengeluaran makanan secara lestari dan melabur dalam projek jaminan bekalan makanan yang dilaksanakan oleh petani kecil dan masyarakat setempat.

Mutakhir, kami memberi penghormatan kepada para petani di mana sahaja yang telah bekerja keras untuk memastikan kami mempunyai makanan di meja kami.

Join Donate