Alam Sekitar Harus Diutamakan Untuk Menghindari Krisis Kesihatan Dan Iklim Di Masa Depan

Surat Kepada Pengarang                             15 April 2020

Sahabat Alam Malaysia (SAM) berpandangan bahawa pandemik Covid-19 telah menunjukkan bahawa sekiranya alam semulajadi dan ekosistem dimusnahkan, diteroka dan terus merosot, kesihatan awam akan terancam dengan cara yang belum pernah kita bayangkan sebelumnya.

Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Environment Programme - UNEP) menyatakan minggu lalu bahawa 75 peratus daripada semua penyakit berjangkit yang muncul pada manusia adalah zoonosis, iaitu berasal dari haiwan, sama ada dari haiwan liar atau dari yang dijinakkan.

Seperti yang telah kita ketahui, pandemik Covid-19 dipercayai timbul daripada perdagangan hidupan liar untuk penggunaan manusia, dengan koronavirus menyebar dari haiwan liar ke manusia.

Akibatnya adalah bencana di seluruh dunia, dengan kajian Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UN Conference on Trade and Development - UNCTAD) baru-baru ini menunjukkan bahawa pakej sokongan US$2.5 trilion diperlukan untuk negara-negara membangun yang menghadapi kemerosotan ekonomi lanjutan daripada pandemik tersebut.

Jelas, kerajaan-kerajaan tidak memandang serius amaran pertubuhan ilmiah seperti Millennium Ecosystem Assessment (MEA) yang diasaskan PBB 15 tahun yang lalu, atau Global Assessment of Biodiversity and Ecosystem Services 2019 (Penilaian Perkhidmatan Kepelbagaian Biologi dan Ekosistem 2019) oleh Intergovernmental Science-Policy Platform on Biodiversity and Ecosystem Services (IPBES) tentang hubungan ekosistem-kesihatan.

Laporan-laporan mercu tanda utama ini telah memberi amaran tentang kemunculan atau kemunculan semula penyakit berjangkit yang disebabkan oleh peningkatan pencerobohan manusia di persekitaran semula jadi seperti pembukaan tanah dan fragmentasi habitat, pengurangan kepelbagaian biologi (termasuk kehilangan pemangsa semula jadi organisma yang menyebarkan penyakit), amalan semasa dalam penternakan dan perdagangan hidupan liar.

Kami berpendapat bahawa setiap negara mesti belajar dari apa yang kita ketahui sekarang dan memperbaikinya ketika merancang strategi keluar dari pandemik ini setelah keadaan kesihatan bertambah baik dan ketika memetakan pemulihan ekonomi.

Loceng penggera sudah berbunyi. Sudah tiba masanya untuk memandang serius alam sekitar dan ekologi.

Satu pembelajaran yang sangat penting untuk dipelajari dan tidak diabaikan adalah perlunya melindungi ekosistem semula jadi kita, termasuk habitat haiwan, menghentikan penebangan hutan, pembukaan tanah, fragmentasi habitat serta perdagangan hidupan liar dan mempromosikan pemulihan hutan dan perlindungan kepelbagaian biologi. Kaedah penternakan juga mesti dikaji semula dan langkah-langkah pembaikian diambil bagi memastikan amalan yang mesra alam.

Apa yang diperlukan adalah komitmen untuk perubahan transformatif melalui peralihan paradigma dalam sistem pengeluaran dan pola kepenggunaan tidak rasional pada masa kini, yang berdasarkan pada pembangunan mampan tulen yang memenuhi keperluan ekonomi, persekitaran dan sosial.

Pembangunan ekonomi, penciptaan pekerjaan, dan lain-lain adalah penting tetapi harus seimbang dan diorientasi semula dengan mempertimbangkan dan mengutamakan aspek alam sekitar dan kualiti hidup dalam pembuatan keputusan.

Oleh itu, alam sekitar, ekologi dan kualiti hidup harus diutamakan dalam semua proses perancangan, dasar, pelan dan undang-undang, termasuk pelaksanaan yang cekap dan serius.

Memang ada keperluan untuk mengkaji semula dasar dan menyeimbangkan kembali keutamaan untuk mencapai agenda yang benar-benar hijau, yang tidak hanya menangani krisis kesihatan awam semasa, tetapi juga mencegah krisis di masa depan, termasuk yang berpunca dari perubahan iklim.

Kita tidak mampu mengulangi kesilapan dengan menggunakan pendekatan perniagaan seperti biasa untuk kepentingan ekonomi dan politik jangka pendek yang membahayakan kesejahteraan planet dan penduduknya.

Setelah melalui pengalaman dan peristiwa yang mengubah hidup secara dramatik dengan koronavirus, untuk kerajaan terus mengabaikan amaran badan-badan saintifik mengenai hubungan ekosistem-kesihatan bukan hanya tidak bijak tetapi juga sangat tidak bertanggungjawab.

Alam sekitar dan ekologi tidak harus lagi dilihat sebagai isu sampingan tetapi harus menjadi keutamaan jika kita ingin menghindari malapetaka di masa depan.

 

Meenakshi Raman

Presiden

Join Donate