Atasi Segera Masalah Pencemaran Bau Dan Asap Dari Kilang Memproses Sawit “United Palm Oil Sdn Bhd” Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan

Kenyataan Akhbar                                        16 Okt 2019

Pencemaran bau dan pelepasan asap secara terbuka merupakan antara isu alam sekitar yang kronik yang juga punca kacau ganggu kepada ramai pihak khususnya bagi masyarakat yang senantiasa terdedah dengan perkara ini. Masalah pencemaran bau dari kilang memproses sawit amnya sangat memberi kesan yang amat negatif kepada penduduk sekitar bahkan bau yang terhasil dapat dihidu dari jarak beberapa kilometer. Begitu juga dengan pelepasan asap hitam yang secara langsung menyebabkan berlakunya pencemaran udara selain mengeluarkan debu dan habuk yang melekit pada tingkap, bumbung rumah, kenderaan dan ruang legar kawasan perumahan.

Masalah pencemaran bau dan pelepasan asap dari kilang memproses sawit yang beroperasi di Jalan sungai Kecil - Bandar Baharu ini sangat memberi kesan yang ketara kepada penduduk-penduduk berhampiran terutama penduduk Kampung Teluk. Penduduk yang ditemui menyatakan bahawa masalah ini telah lama berlaku dan saban hari menghidu bau busuk yang datang dari kolam rawatan sawit bersebelahan dengan penempatan mereka. Selain itu, habuk serta debu dari asap hitam yang dilepaskan juga menjadi masalah bagi mereka. Mereka turut bimbang jika perkara seperti ini tidak segera ditangani akan memberi kesan ke atas kesihatan mereka terutama bayi dan kanak-kanak.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang serius tentang masalah ini kerana impak pencemaran ke atas aktiviti harian penduduk terjejas dan mereka terpaksa menutup tingkap, mengelak duduk di luar rumah, tidak melakukan aktiviti bercucuk tanam dan sebagainya disebabkan oleh gangguan bau. Bukan itu sahaja malah pencemaran bau juga penyebab kepada jadual waktu tidur terganggu.

Selain Kampung Teluk kawasan lain yang terkesan dengan gangguan pencemaran bau dan asap adalah Kampung Ampang Jajar, Kampung Ladang Transkrian, Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal dan beberapa buah Taman Perumahan juga turut menerima kesan yang sama.

Tinjauan SAM ke beberapa lokasi bukan sahaja dilakukan pada waktu siang bahkan sehingga waktu malam dan apa yang kami dapati ialah selain masalah bau, asap yang dilepaskan dari cerobong kilang terbabit pada waktu malam seolah tiada had. Apa yang kami lihat, keadaan  gumpalan asap yang dilepaskan seakan bentukan awan yang mana gumpalan asap tersebut diterbangkan mengikut pada arah angin serta membawa bau yang kurang menyenangkan.

SAM rasakan bahawa terdapat banyak masalah dari kilang sawit tersebut iaitu dari segi kualiti effluent, buangan terjadual, penyelenggaraan kolam rawatan , pengendali empty fruit bunches (EFB) serta asap hitam dan putih daripada cerobong. Ini belum lagi mengambil kira sisa cecair yang berkemugkinan masuk ke saliran yang berdekatan seterusnya ke Sungai Kerian. Jika didapati kandungan air dari Sungai Kerian terdapat sisa cecair yang tercemar maka golongan nelayan sungai turut terkesan dengan masalah ini.

Sehubungan itu, SAM menggesa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan tinjauan, menyiasat  dan menganalisa kandungan asap dan air selain mempertingkatkan usaha bagi mengawal pencemaran bau dari terus menggangu kehidupan seharian penduduk-penduduk yang berdekatan. Langkah tersebut perlu dilakukan bagi memastikan kilang terbabit terkawal dari segi pencemaran alam sekitar.

Meenakshi Raman

Presiden

Join Donate