CAP dan SAM Reda Hati Dengan Penjelasan Menteri MESTECC Berhubung Kenyataan Perdana Menteri Mengenai Kilang Lynas

Kenyataan Akhbar                                    31 Mei 2019

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) pada awalnya bimbang lanjutan daripada laporan di dalam media hari ini di mana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa Malaysia akan membenarkan pengeluar nadir bumi Australia, Lynas Corp untuk meneruskan operasi kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Pahang.

Kami kini reda hati selepas YB Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains dan Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menjelaskan bahawa kilang nadir bumi Australia, Lynas Corp masih perlu menyelesaikan isu sisa radioaktif yang dihasilkan kilangnya di Pahang sebelum dibenarkan untuk terus beroperasi.

CAP dan SAM menggesa Kerajaan Malaysia bersikap tegas dengan keputusan awalnya untuk tidak memperbaharui lesen kilang Lynas yang akan tamat pada September tahun ini, jika sisa radioaktif tidak dipindahkan dari negara ini dan sebarang import bahan nadir bumi pada masa depan adalah bebas daripada bahan radioaktif.  

Kerajaan Malaysia hendaklah tidak tunduk kepada tekanan oleh pihak industri dengan mengorbankan kesihatan dan keselamatan penduduk dan alam sekitar.

Sepertimana yang ditekankan oleh kami, elemen radioaktif dalam sisa daripada pemprosesan nadir bumi melibatkan thorium dan uranium, yang beradioaktif dan kekal dalam alam sekitar selama beribu dan berbilion tahun itu amat sukar untuk disimpan dengan selamat.

Pada Disember 2018, dalam jawapannya kepada pekerja Lynas, YB Yeo Bee Yin telah berkata  Lynas Corporation Ltd., Australia (Lynas Australia) dan Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas Malaysia) menyatakan dua kali (melalui 2 surat pada Februari dan Mac 2012) akan berusaha untuk memindahkan sisa Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) dari Malaysia.

Kami amat gembira bahawa Kabinet telah memutuskan untuk membenarkan YB Yeo mengunjungi Australia untuk mencari penyelesaian berhubung isu ini. Dialog bersama Kerajaan Australia juga sepatutnya dimasukkan perkara berkenaan pengambilan balik sisa radioaktif  Lynas dan dalam memastikan bahawa sebarang bahan yang datang daripada operasi Lynas di Mount Weld pada masa depan adalah tidak radioaktif jika ia dihantar ke Malaysia untuk pemprosesan selanjutnya.

Keselamatan dan kesihatan orang awam dan alam sekitar Malaysia hendaklah tidak dikorbankan demi industri nadir bumi dan industri lain yang bergantung kepada nadir bumi.

Memandangkan pemprosesan nadir bumi tidak boleh dilakukan dengan selamat tanpa mengkompromi keselamatan dan kesihatan komuniti yang tinggal berdekatan dan alam sekitar, adalah lebih baik mereka tidak memprosesnya dan pengganti alternatif hendaklah dicari.

Sebarang pelaburan di negara ini mestilah selamat dan mesra alam. Malaysia tidak sepatutnya menjadi tapak longgokan bagi industri dan teknologi yang berbahaya dan beracun.

Kami menggesa Kerajaan Malaysia supaya telus dalam semua keputusan berhubung operasi kilang Lynas. Membenarkan operasi untuk diteruskan akan mengundang bencana memandangkan ia akan menjejaskan keselamatan dan kesihatan awam serta alam sekitar.

 

Mohideen Abdul Kader

Pemangku Presiden

 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang

meenakshi Raman

Presiden

Sahabat Alam Malaysia 

Join Donate