CAP & SAM mengalu-alukan cadangan pengharaman penyedut minuman plastik dan barangan plastik sekali guna di Pulau Pinang

Kenyataan akhbar                                   26 Jun 2018

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) gembira kerana Pulau Pinang akan melancarkan pengharaman penyedut minuman (straw) plastik dan bekas makanan dan minuman plastik sekali guna selepas Ketua Menteri Chow Kon Yeow memberi pihak berkuasa tempatan kuasa penuh untuk melaksanakan dasar sedemikian untuk memelihara alam sekitar.

Cadangan oleh kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkuasa tempatan adalah dialukan kerana pergantungan yang semakin meningkat terhadap plastik untuk memenuhi budaya kepenggunaan guna-buang adalah satu ancaman kepada negara dan planet.

CAP dan SAM telah mengamati dan menerima aduan mengenai penggunaan bekas makanan dan minuman plastik yang berlebihan, mangkuk guna-buang, penyedut minuman, bekas untuk ‘tapau’ makanan di restoran dan gerai makanan. Amalan ini bukan sahaja meningkatkan jumlah sisa yang perlu dilupuskan tetapi seterusnya memberi kesan kepada alam sekitar, ekonomi dan kesihatan awam.

Purata di seluruh dunia sebanyak lapan juta tan plastik tercicir dari sistem pengumpulan sisa, dan terbuang di persekitaraan dan berakhir dilautan. Oleh itu, adalah penting untuk penggunaan tunggal dan budaya guna-buang ditamatkan. Alternatif terbaik adalah untuk menggantikan produk plastik dengan produk boleh diguna semula atau diisi semula.

Restoran dan kedai makanan dapat menyelesaikan masalah pencemaran plastik dengan beralih dari plastik sekali guna ke barangan yangboleh dibasuh dan boleh diguna semula. Untuk beli balik makanan, pelanggan harus membawa bekas mereka sendiri. Pihak berkuasa tempatan dapat mempercepatkan perubahan ini dengan mengharamkan barangan plastik sekali guna dan barangan guna-buang lain.

Pergerakan untuk mengharamkan penyedut minuman plastik dan lain-lain plastik sekali guna semakin berkembang di seluruh dunia. Pada bulan Mac 2018, kerajaan Maharashtra di India telah mengumumkan larangan beg plastik, botol air dan lain-lain barangan plastik sekali guna dan mula melaksanakan larangan tersebut mulai 23 Jun tahun ini.

Taiwan merancang larangan penuh barangan plastik sekali guna termasuk penyedut minuman, cawan dan beg membeli-belah menjelang 2030. Pada bulan Mei 2018, Suruhanjaya Eropah mencadangkan pengharaman produk plastik sekali guna seperti kutik kapas dan peyedut minuman plastik dan meletakkan beban pembersihan sisa ke atas pengeluar dalam usaha mengurangkan sisa di lautan. Vancouver, Scotland, dan beberapa bandaraya di Amerika Syarikat juga telah mengumumkan larangan penyedut minuman plastik.

Pergerakan RefillNotLandfill di Kemboja bertujuan untuk mengurangkan berjuta-juta botol air plastik yang dibuang oleh pelancong dan penduduk tempatan. Alternatif yang ditawarkan ialah botol aluminium yang boleh digunakan semula dan boleh diisi semula secara percuma di tempat-tempat yang ditetapkan di seluruh negara. Kempen ini telah berkembang ke Myanmar dan Laos. Kita boleh belajar dari inisiatif ini untuk mengurangkan penggunaan botol plastik.

Manakala kerajaan dan pengguna mengambil inisiatif positif, pengeluar juga harus dipertanggungjawabkan untuk keseluruhan kitaran hayat dan impak produk dan pembungkusan mereka, dan mesti mengubah reka bentuk dan merekacipta bahan dan sistem yang lebih selamat. Peniaga mesti memulakan peralihan dan memperkenalkan barangan alternatif yang boleh diguna semula.

CAP dan SAM menggesa kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang untuk mengenakan pengharaman di seluruh negara bagi penyedut minuman plastik, beg plastik, botol air plastik, pengaduk, sudu-garpu plastik, pencungkil gigi, paket, bungkus makanan, pembungkus polistirena, bekas makanan plastik dan barangan plastik guna-buang lain.

Kedua-dua pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang mesti mempercepatkan pelaksanaan larangan yang dicadangkan dan menjadi teladan kepada yang lain untuk menangani pencemaran plastik.

#breakfreefromplastic

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate