Dewan undangan negeri perlu mempersoalkan tentang pencabulan NCR di Marudi dan Tinjar, Baram

ADUN Meeting in Miri, Oct 2018Mesyuarat ADUN di Miri bersama penduduk-penduduk Marudi dan Tinjar. Gambar: SAM

Kenyataan Akhbar                                               08 Oktober 2018

Di Miri hari ini, SAM telah mengatur pertemuan antara dua buah kumpulan Orang Asal, yakni dari Marudi dan Tinjar, Baram, dan ahli-ahli dewan undangan negeri Sarawak dengan tujuan menghentikan pencabulan hak tanah adat (NCR) mereka oleh projek-projek perladangan sawit.

ADUN Meeting Group Picture in MiriMesyuarat ADUN di Miri bersama penduduk-penduduk Marudi dan Tinjar. Gambar: SAM

Kumpulan pertama terdiri dari masyarakat Iban di Marudi. Pada bulan Ogos yang lalu, SAM telah mengeluarkan sebuah kenyataan tentang hal ini di dalam usaha kami untuk membantu mereka. Walaupun sekurang-kurangnya 20 buah kampung Iban mungkin akan terjejas oleh sebuah projek perladangan sawit, ketelusan maklumat tentang projek ini amatlah rendah sekali. Kenyataan ini juga telah mendedahkan bahawa pada bulan Februari lagi, para penduduk terjejas telah pun menghantar sepucuk surat dengan lebih dari 30 buah tandatangan kepada Ketua Menteri Sarawak, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA) dan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah Sarawak, untuk menyuarakan bantahan mereka. Namun sehingga kini, mereka masih lagi belum menerima sebarang maklumbalas daripada mana-mana pihak berkuasa negeri.

Kenyataan ini juga telah meminta agar maklumat asas tentang projek ini, termasuklah samada projek ini merupakan sebahagian dari model pembangunan konsep baru, yang telah pun ditolak oleh para penduduk, setelah mereka diberikan taklimat tentangnya oleh agensi-agensi kerajaan negeri beberapa tahun yang lalu. Namun semenjak tahun lalu, para penduduk telah mula didatangi oleh pihak-pihak yang mendakwa mereka telah pun menerima lesen untuk membangunkan projek perladangan sawit di wilayah NCR mereka. Penduduk turut melaporkan tentang pembangunan sebuah tapak semaian dan percubaan untuk membina jalan akses ke tapak projek. Hari ini, terdapat dua buah halangan jalan (blockade) yang telah didirikan oleh kampung-kampung telibat untuk menghalang pembangunan jalan ini.

Kumpulan kedua pula merupakan masyarakat Iban dari Nanga Seridan di Tinjar. Seperti di Marudi, mereka juga mempertanyakan soalan yang sama, yakni, samada projek perladangan sawit yang akan menjejaskan wilayah NCR mereka merupakan sebahagian dari pembangunan model konsep baru. Mereka juga telah menulis sepucuk surat kepada pihak PELITA pada bulan April yang lalu untuk menyuarakan bantahan mereka tentang projek ini. Mereka juga masih belum lagi menerima sebarang maklumbalas daripadapihak berkuasa negeri. Mereka juga telah menyaksikan percubaan untuk membina sebuah jalan akses, walaupun keizinan mereka tidak pernah diperolehi.

Bantahan dua buah masyarakat ini juga turut menimbulkan sebuah isu penting yang berkaitan. Pindaan kepada Kanun Tanah 1958 baru-baru ini telah mengistilahkan NCR sebagai sebuah hak kepenggunaan (usufructuary rights). Ini bertentangan dengan keputusan kehakiman yang telah mengisytiharkan hak tanah adat sebagai hak kepemilikan ke atas tanah, yang dilindungi oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan sebagai hak ke atas harta. Terdapat juga percubaan untuk menghadkan keluasan wilayah NCR, walaupun lembaga kehakiman telah juga memutuskan bahawa kewujudan hak tanah adat sememangnya bergantung kepada adat dan bukannya undang-undang tergubal.

Namun begitu, semenjak lesen-lesen perladangan kayu kertas dan sawit mula dikeluarkan di Sarawak dengan meluas tanpa keizinan masyarakat terjejas sekitar lewat 1990an, begitu banyak sekali masyarakat Orang Asal di Sarawak telah dan akan terus kehilangan, capaian dan kawalan ke atas tanah-tanah adat mereka sendiri. Makanya itu, saranan agar masyarakat Orang Asal di Sarawak untuk mendaftarkan tanah adat mereka di bawah geran komunal, atau apa-apa proses perundangan pun, kelihatannya agak ironis. Hari ini, keluasan tanah adat yang masih boleh dicapai dan dikawal olehmasyarakat Orang Asal di Sarawak semakin berkurangan.

Oleh itu, isu-isu seperti keizinan masyarakat, ketiadaan maklumat untuk masyarakat terjejas, termasuklah peta-peta dan jenis projek yang dicadangkan, dan halangan-halangan yang semakin membelenggu masyarakat Orang Asal di dalamusaha mereka untuk mencapai dan mengawal secara penuh tanah-tanah mereka, mestilah dibincangkan dengan serius oleh dewan undangan negeri Sarawak pada bulan November ini.

SAM berpendapat dewan undangan negeri wajib menuntut maklumbalas yang memuaskan dari lembaga eksekutif Sarawak berkenaan dengan pencabulan NCR yang berterusan oleh projek-projek perladangan monokultur. Lembaga eksekutif negeri pula mesti bertanggungjawab untuk memberi maklumat yang lengkap dan telus kepada dewan undangan negeri.  Beginilah Malaysia yang baharu sewajarnya beroperasi. 

 

S.M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate