Galakkan Kawalan Biologi untuk Mengawal Serangan Tikus

Surat Kepada Pengarang                        3 Ogos 2018

Pesawah di Kepala Batas, Pulau Pinang telah merayu bantuan lanjutan kemusnahan tanaman padi mereka tetapi rayuan ini tidak sia-sia. Jabatan Pertanian Negeri telah membantu mereka dengan memberi cadangan kawalan tikus secara biologi di sawah padi.

Menggunakan burung hantu untuk memerangi populasi tikus merupakan idea lama yang kini digiatkan semula oleh banyak sektor industri pertanian. Ini sebahagiannya, akibat tekanan daripada kumpulan pengguna dan alam sekitar untuk mengurangkan penggunaan bahan kimia pertanian di sawah. Tetapi kredit juga mestilah diberikan kepadatanggapan bahawa alam  boleh menjadi sekutu petani dalam menentang makhluk perosak.

Mengakui nilai burung hantu sebagai pakar pemburu tikus, petani dengan mudah boleh menggalakkan kehadiran mereka dengan menyediakan tempat untuk bersarang memandangkan burung itu lebih tertarik kepada hampir sebarang kawasan yang terlindung dan ruang yang gelap. Burung ini juga boleh bertolak ansur dengan sedikit bunyi bising dan kekecohan di sekitar sarangnya selagi ia tidak diancam secara langsung. Selagi bekalan makanan terus diperolehi, burung hantu ini akan kembali semula.

Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor dari Universiti Putra Malaysia dalam memberikan jawapan kepada pertanyaan penduduk mengenai burung hantu (The Star, 16 Januari 2017) menjelaskan bahawa burung hantu merupakan satu bentuk kawalan biologi untuk tikus. Berbanding ular, burung hantu lebih sesuai untuk mengurangkan bilangan tikus, memandangkan burung hantu jantan boleh menangkap 10 ekor tikus untuk dibawa ke sarangnya pada waktu malam.

Burung hantu yang aktif pada waktu malam, secara saintifiknya dikenali sebagai Tyto alba, mempunyai selera makan yang kuat. Setiap burung dewasa memakan sehingga 2,000 ekor tikus setahun. Penyelidik berkata burung hantu dalam kawasan kelapa sawit hampir seluruhnya bergantung kepada tikus untuk makanannya.

Burung hantu yang unik ini mempunyai banyak ciri dan sifat yang khusus. Mukanya yang rata berbentuk hati  mempunyai pendengaran yang tajam dan mata bulat yang besar menyediakan pandangan yang tajam pada waktu malam ditambah oleh kemampuan untuk memusingkan kepalanya 180 darjah menjadikan ia burung yang menakjubkan.

Sebagai haiwan pemburu, burung hantu merupakan makhluk yang amat sesuai. Bentuk sayapnya menjadikan ia terbang dengan senyap dan mempunyai deria pendengaran yang membolehkannya memburu dalam kegelapan.

Setiap petani, sudah tentu perlu mempertimbangkan apakah yang terbaik untuk memenuhi keperluan mereka serta keperluan burung hantu itu. Dalam sebarang kes, kotak sarang burung perlu ditempatkan di kawasan aktiviti manusia yang rendah atau di lokasi di atas pokok atau dalam pondok pertanian di mana lebih terlindung daripada cahaya matahari.

Bagaimanapun adalah penting untuk tidak menghalau atau mengancam burung hantu. Burung hantu secara purata merupakan makhluk yang singkat jangka hayatnya. Banyak yang mati sebelum menghabiskan tahun pertama mereka. Penyebab kematian termasuklah kemalangan akibat keracunan racun makhluk perosak, kebuluran, menjadi mangsa kepada manusia, kemalangan dengan kenderaan, pagar dan talian kuasa, dan serangan oleh mamalia karnivor, helang dan burung hantu lain.

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa burung hantu bukanlah penyelesaian sepenuhnya kepada masalah tikus yang dihadapi petani. Kawalan mampan hanya boleh dicapai dengan mengurangkan bilangan tikus dalam alam sekitar, secara prinsipnya dengan mengurangkan  makanan dan tempat pembiakan.

Satu lagi cara berkesan untuk mengawal tikus dan sering terlepas pandang ialah ular. Ular memakan lebih banyak tikus berbanding semua pemakan tikus lain. Bagaimanapun, ular masih ditakuti oleh kebanyakan orang, apabila mereka gagal untuk memahami atau mengakui peranan ular dalam alam sekitar. Adalah diharapkan pemikiran terhadap ular akan berubah dengan masa disebabkan hubungan utamanya dalam rantaian makanan.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensi pengembangannya mempromosikan dengan lebih agresif kawalan biologi bagi pengurusan makhluk perosak dan penyakit dalam sawah padi.

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate