Hari Alam Sekitar Sedunia 2020: Perhatian wajib diberi kepada penukaran guna tanah hutan dan banjir di Sarawak

Keadaan banjir di pusat bandar Marudi di Baram pada bulan Disember 2019           Gambar: SAM

Surat kepada Pengarang                            5 Jun 2020

Bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia 2020, dengan temanya ‘Kepelbagaian Biologi’, Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin menarik perhatian semua terhadap kesan-kesan serius akibat dari kemusnahan hutan dan sungai di Sarawak ke atas kesihatan dan kesejahteraan manusia. Hal ini menjadi lebih kritikal tatkala kesan-kesan perubahan iklim sedang menanti kita.

SAM berasa amat gusar tentang kurangnya perhatian yang telah diberi ke atas isu pertambahan insiden banjir di banyak kawasan di negeri ini, dengan kekerapan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Kami percaya bahawa keadaan ini telah turut diburukkan lagi oleh kehilangan dan kerosakan hutan selama lebih dari empat dekad. Masalah ini telah menyebabkan banyak kesulitan kepada komuniti orang asal dan tempatan di beberapa kawasan yang terjejas, dan hanya akan menjadi lebih buruk lagi, jika tiada tindakan pemulihan dilakukan, terutamanya dengan melindungi hutan dan kepelbagaian biologi dan memulihara kawasan-kawasan yang telah rosak.

Sarawak suatu waktu dahulu telah dirahmati dengan hutan hujan tropika yang tidak terusik, kepelbagaian biologinya adalah antara yang paling tinggi di dunia. Kehidupan ekonomi, kebudayaan dan kerohanian sekurang-kurangnya 25 suku orang asal, yang membentuk lebih separuh dari 3 juta penduduk di negeri tersebut, bergantung terus kepada hutan-hutan ini.

Namun begitu, bermula dari 1980an, hutan-hutan di Sarawak mula dibalak secara berlebihan. Ini lantas telah mencetuskan kritikan antaranbangsa yang meluas, terutamanya tentang kesan-kesannya ke atas komuniti orang asal. Seperti yang sudah dijangkakan, dan diramalkan juga oleh pelbagai laporan saintifik semenjak waktu itu lagi, dari tahun 1990an, pengeluaran balak di Sarawak mulai menyusut. Setelah itu, bermula dari pertengahan 1990an, permit untuk perladangan monokultur mula dikeluarkan di kawasan hutan-hutan yang telah dibalak ini, termasuklah di dalam hutan simpanan pengeluaran, kebanyakannya untuk penanaman pokok kayu kertas dan kelapa sawit.

Hari ini, ada lebih dari 3 juta hektar kawasan seperti ini, sesetengahnya dipegang oleh kumpulan perniagaan yang cuma empat dekad yang lalu telah membalak hutan-hutan di Sarawak secara berlebihan. Jesteru itu, bermulalah sebuah jangkawaktu yang lebih sulit lagi untuk komuniti orang asal di Sarawak. Walaupun pembalakan turut menyebabkan kesan-kesan ke atas alam sekitar yang cukup teruk, perladangan monokultur memerlukan penebangan bersih hutan yang menyeluruh.

Seiringan dengan perkembangan ini, bermula dari 2011, data sejarah tentang peristiwa banjir seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Sarawak, mula menunjukkan peningkatan bilangan insiden banjir di Sarawak setiap tahun, dari di Baram, Limbang, Lawas, Trusan sehinggalah ke wilayah yang terletak di selatan negeri tersebut.

Sebagai contoh, di Baram, antara tahun 2001 dan 2010, data JPS menunjukkan bandar pedalaman Marudi, dan kampung-kampung di sekitarnya, telah mengalami banjir hanya sebanyak tiga kali, yakni pada November 2007, Oktober 2008 dan November 2010. Namun, dari 2011 ke 2020, beberapa kawasan di Marudi telah dilanda banjir pada Januari 2011, November 2012, dari penghujung Disember 2013 sehingga awal Januari 2014, pada Januari dan November 2015, Januari 2017 dan Februari dan April 2018. Pada Disember 2019, pusat bandar Marudi sendiri telah dibanjiri selama hampir seminggu, begitu juga dengan penempatan orang asal di sekitarnya, yang beberapa buahnya sekali lagi diancam kenaikan paras air pada awal Januari tahun ini.

Lebih teruk lagi, kampung-kampung seperti Long Bemang di Tinjar, sebuah anak sungai di hulu Sungai Baram, telah terpaksa berhadapan dengan beberapa kejadian banjir setiap tahun. Data JPS menunjukkan pada tahun 2017 sahaja, Long Bemang dan kawasan sekitarnya telah dibanjiri sebanyak tiga kali, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat di Marudi melaporkan tentang tujuh buah insiden. Pada tahun ini, Long Bemang dan jiran-jirannya telah dilaporkan mengalami banjir pada bulan Mac, April dan Mei. Kampung-kampung berjiran seperti Long Panai, Long Wat dan Long Atip telah turut sama dilanda banjir yang teruk semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini. Banjir ini dilaporkan telah turut menenggelamkan kawasan pertanian penduduk, memusnahkan tanaman padi dan sayur-sayuran, malah anak-anak pokok tanaman kontan seperti kelapa sawit.

Oleh itu, bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia ini, kami menggesa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak untuk mengambil peduli tentang kenyataan baru yang sedang dihadapi oleh Sarawak pada hari ini.

Dengan ketibaan perubahan iklim, tidak mustahil bahawa corak taburan hujan di Sarawak mungkin boleh meningkat naik lagi. Oleh itu, kegagalan untuk menghentikan penukaran guna tanah hutan yang masih ada di Sarawak kepada perladangan monokultur, boleh mengakibatkan kesan-kesan yang buruk ke atas populasi di Sarawak, terutama sekali mereka yang berada di pedalaman.

Di pedalaman Sarawak, prasarana pengangkutan, pendidikan dan kesihatan sememangnya sudah berada di dalam keadaan yang kurang baik. Ramai komuniti orang asalnya pula telah terpaksa berhadapan dengan kehilangan sumber-sumber makanan, pendapatan, perubatan tradisi dan air bersih apabila kebun-kebun dan hutan mereka pada awalnya telah dirosakkan oleh pembalakan, dan kemudian, hilang terus akibat perladangan.

Keadaan hari ini adalah lebih mendesak dari waktu-waktu terdahulu. Adalah sangat penting untuk kita bertindak melindungi hutan-hutan yang masih ada serta sungai-sungai di Sarawak, dari eksploitasi yang berterusan. Kita juga wajib untuk membaik pulih hutan-hutan yang telah dirosakkan selama ini, supaya mereka dapat kembali kepada keadaan asal mereka.

Seperkara lagi, kerajaan juga wajib menghormati dan mengiktiraf hak orang asal ke atas wilayah mereka, dan mengambil kira tentang betapa bernilainya sistem pengetahuan mereka di dalam membantu kerja-kerja perlindungan hutan dan kepelbagaian biologi. Ini juga akan turut membantu komuniti orang asal di dalam melakukan mitigasi dan adaptasi terhadap kesan-kesan perubahan iklim, dan membina ketahanan mereka untuk berhadapan dengannya.

Adalah penting untuk kerajaan persekutuan dan negeri memberikan perhatian yang segera terhadap kaitan antara kehilangan hutan dan peningkatan insiden banjir di Sarawak.

 

Meenakshi Raman

Presiden

Join Donate