Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia 2018: Ketelusan tentang projek perladangan sawit untuk masyarakat Iban di Marudi

Indigenous Communities of Rh BeliangPenduduk-penduduk Rumah Beliang di Sarawak. Kredit Gambar: Rumah Beliang, Sarawak

Kenyataan Akhbar                                                                                    09 Ogos 2018

Bersempena dengan Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia 2018, Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin menyuarakan kegusaran kami terhadap rancangan untuk membangunkan projek perladangan sawit di Marudi, Baram, yang akan menjejaskan hak tanah adat (NCR) sekurang-kurangnya 20 buah kampung masyarakat Iban. Wilayah-wilayah adat ini bukan sahaja masih ada kawasan yang berhutan, malah terdapat banyak sekali ladang-ladang (temuda) para penduduk yang produktif, yang menjadi sumber pendapatan dan makanan yang penting untuk mereka.

Pembinaan jalan melalui wilayah orang asalGambar menunjukkan pihak syarikat membina jalan melalui wilayah Orang Asal.  Kredit Gambar: Rumah Beliang, Sarawak

Para penduduk terlibat telah pun menghantar surat dengan lebih dari 30 buah tandatangan, bertarikh Februari 5, 2018, kepada Ketua Menteri Sarawak, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA) dan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah Sarawak, untuk menyuarakan bantahan mereka. Namun sehingga kini, mereka masih lagi belum menerima sebarang maklumbalas daripada mana-mana pihak berkuasa negeri.

Beberapa tahun dahulu, terdapat beberapa siri taklimat yang telah dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan negeri kepada para penduduk kampung sekitar Marudi tentang cadangan pembangunan projek perladangan sawit berdasarkan konsep baru. Namun, cadangan ini rata-ratanya telah ditolak oleh para penduduk terlibat. Terdapat juga sebuah peta yang telah diperolehi oleh sebuah kampung menunjukkan lima buah zon pembangunan tanah NCR sekitar Marudi. Menurut para penduduk terlibat, mereka tidak begitu jelas tentang status terkini cadangan projek konsep baru ini.

Namun semenjak tahun lalu, para penduduk telah mula didatangi oleh pihak-pihak yang mendakwa mereka telah pun menerima lesen untuk membangunkan projek perladangan sawit di wilayah NCR penduduk. Penduduk turut melaporkan tentang pembangunan sebuah tapak semaian dan percubaan untuk membina jalan akses ke tapak projek. Hari ini, terdapat dua buah halangan jalan (blockade) yang telah didirikan oleh kampung-kampung telibat untuk menghalang pembangunan jalan ini.

Oleh itu kami memohon agar kerajaan negeri Sarawak untuk segera menjelaskan tentang status sebenar lesen projek perladangan sawit di Marudi ini. Kami juga tidak jelas jika terdapat lebih dari sebuah lesen projek yang telah dikeluarkan. Sudah terlalu lama para penduduk dibiarkan tanpa maklumat lanjut berkenaan projek ini. Antara lain, kampung-kampung terjejas memerlukan maklumat terperinci tentang nombor dan status lesen projek, syarikat pemaju projek dan kontraktor mereka, serta peta yang menunjukkan sempadan dan keluasan projek. Proses perundingan yang menyeluruh dan telus mestilah juga dilakukan untuk para penduduk terlibat.

Projek perladangan sawit seperti ini tentunya akan mencemarkan lembangan Sungai Baram, yang merupakan sumber bekalan air bersih bagi bandar Marudi dan kampung-kampung di sekitarnya, dengan lebih teruk lagi. Hari ini sahaja sudah banyak kampung di sekitar Marudi tidak dapat lagi menggunakan sungai sebagai sumber bekalan air bersih mereka dan terpaksa bergantung kepada air hujan sahaja. Apabila kemarau melanda semenjak bulan Mac yang lalu, lebih dari seribu orang penduduk di kampung-kampung ini mengalami kesulitan yang amat berat. Kami telah pun mengeluarkan kenyataan media tentang isu ini pada bulan Julai yang lalu.

Kami menggesa agar pihak kerajaan persekutuan dan negeri untuk memberikan perhatian yang berat terhadap permasalahan pembangunan perladangan sawit dan kayu kertas secara besar-besaran di Sarawak, yang melibatkan pencerobohan hak tanah adat Orang Asal, memusnahkan hutan dan ladang-ladang kampung yang produktif dan mengakibatkan pelbagai kesan buruk terhadap alam sekitar, termasuklah pencemaran sungai yang teruk.

Kami percaya semenjak lewat tahun 1990an, keluasan kawasan yang diliputi oleh lesen-lesen perladangan monokultur di Sarawak ini telah mencecah lebih dari 3 juta hektar, atau satu per empat keluasan Sarawak. Menurut laman sesawang Jabatan Hutan Sarawak, permit Licence for Planted Forests(LPF) sahaja sudah meliputi kawasan seluas 2.8 juta hektar. Permit LPF ini berada di bawah bidangkuasa Jabatan Hutan Sarawak, menunjukkan bahawa sebahagian kawasan ini pada asalnya merupakan kawasan berhutan. Selebihnya, lesen-lesen perladangan monokultur di Sarawak berada di bawah bidangkuasa Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, termasuklah yang membabitkan agensi pelaksana seperti PELITA.

Malaysia yang baru tidak boleh lagi menutup mata terhadap pencabulan hak asasi masyarakat Orang Asal, perampasan tanah adat mereka yang berterusan, kemusnahan hutan dan pencemaran alam sekitar. Di tarikh yang bersejarah ini, kami menuntut pihak berkuasa persekutuan dan negeri untuk menunjukkan ketelusan kepemerintahan. Maklumat terperinci tentang projek ini mestilah didedahkan kepada pihak awam. Hak masyarakat terjejas untuk mempertahankan wilayah adat mereka dari diceroboh oleh projek ini mestilah dihormati.

S.M. Mohamed Idris

Presiden

 


Showing 1 reaction

Join Donate