Hentikan Pembunuhan Gajah di Sabah

Surat Kepada Pengarang                             4 Oktober 2019

Sabah sekali lagi menjadi tajuk berita utama dan sekali lagi mengenai kematian gajah pigmi. Apa yang mengejutkan Sahabat Alam Malaysia (SAM) ialah cara gajah itu yang ditembak dengan kejam. Bukan hanya ditembak beberapa kali, gadingnya juga turut dipotong.

Kejadian pembunuhan gajah yang berterusan ini menggambarkan betapa lemahnya sistem penyampaian kerajaan; ia sering berlaku dan ini sudah cukup untuk menggambarkan bahawa mereka yang diamanahkan dengan tugas ini  iaitu Jabatan Hidupan Liar tidak melakukan sesuatu yang cukup berkesan.

Bagaimanapun, dengan bantahan orang ramai dan siasatan terbaharu terhadap insiden itu yang dibantu oleh pihak polis yang membawa kepada penangkapan enam suspek, mungkin masih ada harapan bagi bilangan gajah yang masih ada. Pujian mestilah diberikan kepada pemberi maklumat yang membawa kepada penangkapan segera suspek itu.

Tindakan tegas dan keras mestilah diambil terhadap pelaku supaya ia menjadi satu duluan (precedent). SAM juga menuntut tindakan terhadap syarikat perladangan kerana membenarkan orang-orang mereka melakukan kekejaman itu. Pihak syarikat lebih tahu bahawa sebarang masalah atau apabila berhadapan dengan hidupan liar ia perlulah dirujuk kepada Jabatan Hidupan Liar dan bukanya mengambil tindakan sendiri.

Terdapat banyak pembunuhan gajah di Sabah sejak 2013 dengan banyak kes masih tidak diselesaikan sehingga ke hari ini.

Diancam daripada semua sudut daripada pembalakan yang meluas terhadap habitat semula jadi mereka untuk pertanian dan pembangunan ladang, memutuskan laluan penghijrahan gajah, meracuni, pemburuan haram, kematian akibat kemalangan dan akibat konflik manusia-gajah, masa depan gajah ini menjadi satu malapetaka dan kian suram.

Dianggap makhluk perosak atau ancaman kepada tanaman pertanian, gajah tertakluk kepada balasan oleh pemilik ladang. Setiap tahun, gajah ditemui sama ada ditembak atau diracuni di seluruh habitat gajah di Sabah, walaupun orang ramai sering tidak mendengar apa-apa mengenainya.

Atas nama ekonomi dan aktiviti pertanian, beribu hektar habitat hidupan liar dibersihkan. Terdapat keperluan segera untuk menghentikan model “Perniagaan seperti biasa penebangan hutan” dan menguruskan landskap Sabah dengan lebih baik sebelum kelenyapan lebih banyak spesies terancam.

Penukaran hutan kepada ladang mewujudkan pemisahan atau sekelompok habitat yang tidak mencukupi untuk mengisi sekumpulan gajah yang banyak. Ini memaksa spesies ini keluar daripada habitat mereka dan kebanyakannya memasuki ladang atau kampung.

Oleh itu amat penting bagi koridor hutan di kawasan ladang atau kampung bagi membolehkan pergerakan gajah daripada satu habitat kepada habitat yang lain, untuk mengembalikan koridor riparian dan memastikan perancangan penggunaan tanah yang sempurna untuk menempatkan pagar dan koridor.

Kini tiba masanya bagi kerajaan negeri Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah mengeluarkan satu pelan tindakan pemuliharaan yang lebih konkrit dan berkesan untuk mencegah lebih banyak kematian yang tidak diingini gajah dan hidupan liar berharga Sabah.

 

Meenakshi Raman

Presiden

Join Donate