Hormati undang-undang dan jangan mengikatkan kerajaan dan rakyat kepada projek penambakan SRS

Kenyataan Akhbar                                     16 Julai 2020

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar menghormati dan mematuhi proses perundangan berhubung Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment - EIA) yang termaktub dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Environmental Quality Act - EQA). Pada masa kini terdapat rayuan di dalam Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah EQA yang mencabar kelulusan EIA tersebut oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Tindakan menandatangani perjanjian bersama rakan kongsi penyampaian projek bagi projek SRS dan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang semalam bahawa projek PSR akan dimulakan pada Februari tahun hadapan, meskipun rayuan tersebut belum didengar, adalah menghina hak rakyat yang diberikan oleh undang-undang. Kerajaan seharusnya ingat bahawa negara kita adalah negara berteraskan undang-undang.  

Kami ingin mengingatkan kerajaan negeri bahawa sekitar Julai tahun lalu, perwakilan nelayan dari Sungai Batu, Teluk Kumbar, diketuai oleh Encik Zakaria bin Ismail, mengemukakan rayuan di bawah EQA yang membenarkan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan JAS dalam meluluskan EIA, membawa perkara tersebut ke Lembaga Rayuan yang dibentuk di bawah EQA.

Pendengaran rayuan berhubung keputusan Ketua Pengarah JAS ketika itu yang memberikan kelulusan bersyarat bagi EIA projek terbabit adalah masih belum didengar di Lembaga Rayuan. Sehingga rayuan itu diputuskan dan isu-isu perundangan diselesaikan, kerajaan negeri mesti menghormati undang-undang dan tidak meneruskan projek PSR tersebut.

Jika tidak, undang-undang dan proses rayuan ini seakan dibuat ejekan.

Kerajaan Negeri nampaknya cenderung untuk meneruskan  projek PSR tanpa mengambil kira  cabaran undang-undang oleh komuniti nelayan, dan bantahan berhubung projek itu daripada pertubuhan masyarakat sivil berdasarkan alasan-alasan yang kukuh.

Di dalam rayuan berkenaan, nelayan Sungai Batu mencabar beberapa perkara, termasuk kelulusan JAS bagi EIA kerana ia tidak lengkap dan tidak mengambil kira saranan yang dikemukakan oleh Kementerian Pertanian. (MOA).

Di antara saranan yang dikemukakan oleh MOA termasuklah kerajaan negeri harus menjalankan kajian selanjutnya mengenai kesan pengerukan dan tambakan bagi projek berkenaan terhadap populasi udang putih dan kesan bunyi bising terhadap ikan disebabkan aktiviti terbabit. MOA juga menyarankan agar kerajaan negeri mewartakan zon pemuliharaan perikanan di sepanjang pesisir pantai dari Pulau Betong ke Teluk Bahang, serta mewartakan Middle Bank sebagai kawasan perlindungan perikanan.

Satu lagi rayuan yang dikemukakan ialah terhadap syarat JAS ke atas Kerajaan Negeri bagi memastikan adanya program mengimbangi (offset) untuk mengurangkan kerugian nelayan. Ianya masih belum memadai memandangkan ia tidak mempunyai kemampuan untuk menggantikan fungsi habitat semula jadi yang akan terancam akibat projek tambakan laut ini.

Satu lagi alasan yang diberikan ialah tiada sebarang pertimbangan dibuat mengenai bagaimana projek PSR akan melemahkan tanggungjawab Malaysia di bawah Konvensyen mengenai Kepelbagaian Biologi dan Matlamat Pembangunan yang Mampan (SDG).

Kesemua ini merupakan alasan yang kukuh  dan perkara ini boleh diadili hingga ke Mahkamah Persekutuan.

Jika nelayan terbabit berjaya dalam cabaran mereka, maka kelulusan EIA adalah tidak sah dan projek itu tidak boleh diteruskan tanpa kelulusan yang sah di bawah undang-undang.

Adakah kerajaan berusaha membuat fakta di lapangan dengan harapan dapat mempengaruhi pihak Lembaga dalam membuat keputusan ke atas cabaran tersebut?

Sehubungan itu kami mengulangi gesaan kepada kerajaan negeri agar menghormati dan mematuhi proses perundangan dan tidak meneruskannya, seolah-olah cabaran undang-undang  boleh diketepikan dan tidak mempunyai merit, memandangkan perkara ini terserah kepada Lembaga Rayuan di bawah EQA untuk memutuskannya.

Berhubung Isu Bon

Berhubung isu Pulau Pinang tidak berdaya mengeluarkan bon tanpa kelulusan kerajaan Persekutuan, Ketua Menteri menjawab, “pihak bank yang mencadangkannya dan mereka berkata mereka tidak ada masalah dengan kerajaan negeri bertindak sebagai penjamin (guarantor). Pihak bank yang mahukannya.” Hakikatnya kerajaan negeri tidak boleh menjadi penjamin tanpa kelulusan kerajaan Persekutuan. Ia dilarang secara jelas dalam Artikel 111(3) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi:

“Sesuatu Negeri tidak boleh memberikan apa-apa jaminan kecuali di bawah kuasa undang-undang Negeri, dan jaminan itu tidak boleh diberikan kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditentukan olehnya.”

Ketua Menteri sepatutnya mendapatkan nasihat berhubung perkara ini dari Peguam Negara dan bukannya mendengar kata-kata pihak bank yang ternyata cuma berminat untuk mengaut keuntungan tanpa mempedulikan nasib rakyat.

 

Mohideen Abdul Kader

Presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang

 

Meenakshi Raman

Presiden, Sahabat Alam Malaysia

Join Donate