Kaji Semula Pemberian Semula Lesen Pengoperasian Kilang Pembuatan Bateri Di Jenjarom, Kuala Langat, Selangor

Kenyataan Akbar                                      14 Ogos 2019

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa supaya pihak Kerajaan Negeri Selangor dan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan supaya mengkaji dengan sewajarnya mengenai pemberian semula lesen pengoperasian kilang pembuatan bateri di Jenjarom, Kuala Langat yang dijangkakan pada penghujung Ogos ini. SAM berpendirian bahawa amat tidak sesuai kilang terbabit beroperasi dekat kawasan perumahan kerana penduduk terdedah kepada pencemaran yang berisiko mengancam kesihatan mereka.

Malah kerja-kerja peleburan plumbum juga amat  tidak sesuai dijalankan di kawasan kampung kerana ia terlalu hampir dengan penempatan. Sekiranya perkara ini diteruskan, maka penduduk berdepan risiko kesihatan jangka panjang.

Mengikut laporan yang terdapat dalam akhbar dan media tempatan menyatakan, masalah ini berlaku pada awal tahun 2018 setelah kilang terbabit  terbakar pada 12 Disember 2017 sehingga memusnahkan hampir 70 peratus bangunan kilang dan selepas kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan, kilang itu dibina semula pada Mac 2018 serta dibenarkan beroperasi semula pada September 2018.

Walaupun terdapat kenyataan dari beberapa pihak mengenai denda, kompaun yang membawa kepada pemberhentian operasi kilang terbabit serta-merta namun kami merasakan bahawa ianya hanya bersifat sementara. Adalah tidak relevan kerana jika dikaji semula tentang zon kawasan industri sebenarnya tidak boleh diberikan lesen operasi kerana ia begitu hampir dengan kawasan penempatan.

Tambahan pula kilang tersebut menjalankan aktiviti pembuatan bateri yang mana kesan ke atas pencemaran alam sekitar begitu tinggi. Begitu juga dengan aktiviti peleburan plumbum ataupun kitar semula bateri terpakai oleh pengusaha kilang terbabit yang secara terang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan menyalahgunakan lesen operasi.

Memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna YB Hee Loy Sian dalam Free Malaysian Today (FMT) bertarikh 10hb Ogos 2019 berkata kerajaan negeri akan sentiasa mengutamakan keselamatan alam sekitar selain tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar undang-undang.

Melalui artikel tersebut juga YB Hee Loy Sian menyatakan bahawa kebakaran disebabkan litar pintas yang berlaku di kilang itu pada 2017 menyebabkan 80% kemudahan kilang dan 1,200 tan bahan musnah. Ini mungkin menjadi punca pencemaran. Katanya lagi, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), JAS dan Jabatan Kesihatan Selangor terlibat dalam memeriksa status kilang berkenaan. Malah Majlis Daerah telah diarahkan supaya menyelaras dan mengumpulkan dapatan kajian daripada semua agensi berkaitan menjelang pertengahan Ogos ini bagi menyediakan satu laporan komprehensif kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Justeru, SAM menggesa kepada pihak-pihak yang berkenaan seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Majlis Daerah Kuala Langat supaya mengambil tindakan yang wajar bagi menyelesaikan masalah ini kerana ia bukan sahaja melibatkan soal terjejasnya kesihatan penduduk tempatan, tetapi juga pencemaran alam sekitar  di masa akan datang

Kami juga sarankan supaya pihak kerajaan negeri dan mana-mana pihak berkuasa mengambil tindakan yang lebih tegas dan tidak berkompromi dalam hal yang membabitkan undang-undang, pencemaran alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

MEENAKSHI RAMAN

Presiden

Join Donate