Kawasan Pembiakan Kerang Semakin Terancam

 

 

Harga kerang besar di Pasar Bayan Baru, Pulau Pinang              Gambar : SAM

Kenyataan Media                                     6 Julai 2020

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak kerajaan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah kawasan pembiakan kerang yang semakin terancam dan berkurangan ketika ini.

Keadaan yang berlarutan sejak 10 tahun yang lalu itu bukan saja menjejaskan sumber pendapatan nelayan dan bekalan untuk para pengguna tetapi pada masa yang sama harganya juga meningkat secara mendadak di pasaran.  Tinjauan SAM mendapati harga kerang ketika ini kini ada yang mencecah sehingga RM14.00/kg atau lebih.

Nelayan dan penternak kerang di beberapa negeri turut mengadu bahawa hasil mereka menurun 50% akibat kekurangan hidupan laut itu. Punca-punca yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah kerana pencemaran laut akibat pembuangan sisa kimia, kemusnahan hutan paya bakau, penggunaan peralatan tangkapan yang merosakkan dasar laut dan aktiviti penyeludupan benih kerang ke luar negara.

Selain itu terdapat juga masalah di mana kawasan pembiakan semulajadi kerang terganggu oleh penggunaan peralatan tangkapan moden dan pelaksanaan projek akuakultur yang mengancam serta mencemarkan kawasan itu.

Pada Disember 2017, pihak media melaporkan bahawa di Kuala Sepetang dekat Taiping, Perak, sebelum ini terdapat 100 lokasi yang menjadi tumpuan nelayan menangkap kerang tetapi kini hanya tinggal 15 lokasi sahaja kerana lokasi lain telah diancam pencemaran bahan buangan dan sisa kumbahan menyebabkan kerang tidak dapat membiak.

Di Lekir, Sitiawan pula 200 nelayan pantai di Kampung Sungai Tiram membantah Projek Kebun Kerang yang dirancang pelaksanaannya di zon tangkapan mereka kerana projek itu melibatkan kawasan semulajadi pembiakan kerang sekali gus boleh mengancam sumber pendapatan mereka jika ia diteruskan. (laporan Harian Metro – 5 Jun 2020)

Manakala di Melaka, kira-kira 30 nelayan pantai Kuala Sebatu daerah Melaka Tengah membantah projek ladang ternakan kerang yang didakwa boleh menjejaskan benih kerang dan sumber pendapatan mereka. ( laporan Sinar Harian – 16 November 2019)

Menurut nelayan yang terlibat kawasan tersebut adalah satu-satunya lokasi pengeluaran benih kerang dan kerang dewasa terbanyak di negeri ini. SAM difahamkan projek itu mendapat kelulusan kerajaan negeri pada 2016 tetapi tidak mendapat sokongan Jabatan Perikanan dan nelayan tempatan.

SAM telah menyuarakan sokongan kepada bantahan nelayan di kawasan tersebut dan syor Jabatan Perikanan Melaka supaya kerajaan negeri menarik balik kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang telah diberikan kepada syarikat berkenaan demi memelihara sumber kerang semulajadi dan kebajikan para nelayan di sini.

Bagi mengatasi punca pembiakan kerang terjejas dan kemerosotan pengeluaran hasil laut itu dari berterusan, SAM menggesa kerajaan-kerajaan negeri dan pejabat tanah daerah tidak meluluskan sebarang projek pembangunan dan akuakultur di kawasan pantai khususnya di kawasan semulajadi pembiakan kerang dan hutan paya bakau.

Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) perlu memberi perhatian serius dalam pengurusan sumber laut. Kejadian pencemaran laut yang semakin serius berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan amat membimbangkan SAM kerana banyak kerang yang dilaporkan mati keracunan dan lambat membesar. 

SAM berharap jabatan serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan bersepadu bagi menangani punca masalah ini.  Penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan dengan lebih berkesan supaya hidupan kerang di perairan negara ini dipulihara dan berkekalan.                                                                                                                               

 

MEENAKSHI RAMAN

Presiden

Join Donate