Kesengsaraan kepada haiwan yang dibawa oleh tanda-tanda haiwan zodiak

Surat Kepada Pengarang                           2 Mac 2020

Dengan setiap Tahun Baharu Cina mengalu-alukan haiwan khusus dalam zodiak, yang setiap daripadanya membawa kekuatan dan nasib baik mereka sendiri, kedai haiwan peliharaan dan ladang ternakan haiwan peliharaan semuanya berusaha untuk mengimport haiwan yang dikaitkan dengan tanda-tanda haiwan zodiak pada tahun itu.

Pada tahun ini, yang merupakan tahun tikus, ladang haiwan ternakan menarik perhatian orang ramai dengan mengimport baka asing dalam keluarga tikus seperti capybaralandakdegudormouse, chinchilla dan tikus Sphinx untuk dipamerkan.

Popularisasi haiwan peliharaan eksotik mempunyai pengaruh yang besar terhadap permintaan spesies eksotik. Inilah permulaan untuk membeli haiwan dengan dorongan serta kepercayaan bahawa ia akan membawa tuah atau ketika ia masih muda dan cantik. Sebaik tarikannya hilang atau haiwan itu menjadi masalah atau hilang kecantikannya ia akan dibiarkan dan diabaikan.

Apabila kedai haiwan peliharaan menjual haiwan eksotik, ia mendorong kehendak orang ramai kepada haiwan peliharaan yang unik. Ia memerlukan haiwan peliharaan terbaharu dan menarik yang membawa pengguna kepada Internet, di mana penjual menunggu untuk mengaut wang tunai cepat dengan mendapatkan haiwan eksotik secara haram yang tidak dapat ditemui di kedai haiwan peliharaan. Lebih unik dan jarang dijumpa haiwan itu, lebih banyak wang yang akan diperolehi penjual. Selagi terdapat permintaan, kitarannya akan berterusan.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) sering mengkritik perdagangan dan pemeliharaan haiwan eksotik kerana ia merupakan sikap tidak berperikemanusiaan dan amalan yang berbahaya yang dikaitkan dengan bekalan dan pemeliharaan termasuk kebajikan haiwan, pemuliharaan spesies, invasif, kesihatan dan keselamatan awam.

Kedai haiwan peliharaan dengan cepat mempromosikan spesies eksotik sebagai ‘mudah untuk dipelihara’ dan ramai tidak mempunyai pengetahuan mengenai penjagaan yang diperlukan bagi spesies tertentu sering menyediakan maklumat yang salah atau tidak tepat kepada pembeli. Mengutamakan keuntungan mengatasi menyediakan penjagaan yang sempurna bagi haiwan, menjadi contoh utama bagaimana perdagangan haiwan peliharaan melayan haiwan sebagai komoditi.

Apa yang orang ramai tidak tahu ialah kesan perdagangan haiwan peliharaan eksotik di mana pemburuan haram haiwan eksotik menjejaskan populasi haiwan di seluruh dunia. Banyak haiwan dan reptilia menderita ketika dikurung dan diangkut dan jika ia berakhir di destinasi akhir dengan masih hidup, ia sering tertekan sehingga tidak mampu untuk makan, bergerak dan bertingkah laku seperti ketika dalam habitat asal. Ia juga menderita di tangan pengedar yang menjualnya kepada kedai haiwan peliharaan dan zoo. Bagi individu yang memiliki haiwan eksotik yang hidup dalam kurungan merupakan satu hukuman mati bagi haiwan “eksotik” ini yang menderita akibat kekurangan zat makanan, penjagaan yang kurang sempurna dan persekitaran, kesunyian dan tekanan dalam kurungan. Dirompak daripada habitat semula jadi, dinafikan ruang untuk berkeliaran, ia dipaksa berhadapan kitaran berulangan yang tidak berakhir dalam persekitaran kurungannya.

Apabila diabaikan, haiwan peliharaan ini mungkin mengalami kebuluran atau menjadi mangsa kepada pemangsa. Haiwan yang selamat mungkin akan membiak dan menjejaskan ekosistem, membunuh spesies asal. Kebanyakan haiwan peliharaan bukan tradisional membawa risiko kepada kesihatan kanak-kanak. Pemerolehan dan pemilikan haiwan peliharaan eksotik seharusnya tidak digalakkan sama sekali.

Pembeli tidak menyedari bahawa kebanyakan daripada haiwan ini diambil daripada habitat asalnya yang sering mencabuli undang-undang. Ianya digunakan dalam operasi pembiakan, dijual dalam pasaran tempatan, diseludup ke luar negara atau dengan secara sengaja disalah label sebagai dibiak dalam kurungan dan dieksport secara sah. Kadar kematian dalam penyeludupan haiwan liar terutama reptilia amat mengerikan dan merampas populasi haiwan ini untuk haiwan peliharaan telah hampir pupuskan sesetengah spesies terutama sekali kura-kura.

Permintaan untuk haiwan unik telah memuncak dalam beberapa tahun ini dengan popularnya e-dagang dan laman sesawang media sosial untuk mengiklankan penjualan haiwan hidup ini. Pada masa ini tiada undang-undang untuk mengawal kemasukan haiwan eksotik ke negara ini.

SAM membantah dengan sekeras-kerasnya pemeliharaan hidupan liar eksotik sebagai haiwan peliharaan. Kami menggesa supaya diharamkan penjualan haiwan eksotik di kedai haiwan peliharaan serta mengharamkan pengiklanan haiwan eksotik secara dalam talian.

Orang ramai perlu menyedari bahawa haiwan ini perlu berada di habitat semula jadinya dan bukannya di tangan individu sebagai haiwan peliharaan. Sebaik-baiknya jangan sekali-kali memelihara haiwan eksotik sebagai haiwan peliharaan – ‘Haiwan Liar Tidak Memilih Untuk Dijadikan Haiwan Peliharaan!’

 

Meenakshi Raman

Presiden

Join Donate