Lindungi Sumber Air untuk Memastikan Jaminan Sekuriti Air

Surat Kepada Pengarang                           21 Mac 2018

Sempena Hari Air Sedunia yang jatuh pada 22 Mac setiap tahun, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Malaysia supaya melindungi sumber air yang amat kritikal di Malaysia untuk memastikan jaminan sekuriti air negara. Langkah-langkah yang perlu diambil termasuk mengelaskan hutan simpanan kekal untuk tujuan perlindungan, pengurusan baik tanah lembap dan meningkatkan usaha untuk menuai air hujan.

Tema sambutan tahun ini ialah ‘Alam untuk Air’, meneliti penyelesaian berasaskan alam terhadap cabaran air yang kita hadapi dalam abad ke 21. Mesej utama penyelesaian berasaskan alam seperti menanam pokok untuk menambahkan hutan, menghubung semula sungai ke dataran banjir dan membaik pulih tanah lembap, adalah cara yang berkesan dan lestari serta menjimatkan kos untuk membantu mengimbangi semula kitaran air, mitigasi kesan perubahan iklim dan memperbaiki kehidupan dan kesihatan manusia.

Rancangan Malaysia ke 11 mengenal pasti hutan sebagai modal semula jadi negara memandangkan kepada perkhidmatan ekosistem yang disediakan. Contoh yang menggambarkan aspek ini ialah Hutan Simpanan di Ulu Muda, Kedah yang merupakan sumber air penting bagi negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, yang membekalkan 96%, 80% dan 70% keperluan air harian negeri-negeri tersebut.

Apabila pembalakan menjejaskan fungsi Hutan Simpanan Ulu Muda (HSUM) sebagai kawasan tadahan air, bukan hanya aktiviti ekonomi di tiga negeri itu terjejas, tetapi keperluan asas air bagi lebih 4 juta penduduk di tiga buah negeri tersebut dan alam sekitar turut terancam.

Hutan Simpanan Kekal (HSK), sehingga dikelaskan di bawah Seksyen 10, subseksyen (1) Akta Perhutanan 1984 disifatkan telah dikelaskan di bawah Seksyen 10(1) perenggan (a) sebagai hutan pengeluaran kayuan di bawah perolehan berkekalan. Kegagalan untuk mengelaskan HSK bermakna kerajaan negeri boleh mengeluarkan lesen atau permit untuk mengambil hasil hutan dari HSK, oleh itu ia mengancam fungsi ekosistem hutan.

Pada hakikatnya, senario HSUM di mana aktiviti pembalakan dan pengambilan pasir telah diluluskan, menggambarkan betapa perlunya dasar negara yang seragam untuk melindungi hutan di Malaysia sebagai kawasan tadahan air negara.

Sungai adalah sumber air mentah utama di Malaysia. Di Semenanjung Malaysia, aliran sungai-sungai utama adalah dari Banjaran Titiwangsa yang membentuk tulang belakang Semenanjung.

Sungai utama yang mengalir ke arah Selat Melaka termasuklah Sungai Muda, Sungai Perak, Sungai Bernam dan Sungai Linggi, manakala Sungai Pahang, Sungai Rompin dan Sungai Kelantan mengalir ke arah Laut China Selatan. Sumber semua sungai ini adalah diselubungi oleh hutan hujan tropika yang menadah air untuk sungai-sungai tersebut.

Di bawah Perlembagaan, tadbir urus dan perlindungan sungai, sebagai sumber air mentah, berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Pengelasan hutan sebagai hutan perlindungan tanah, hutan kawalan banjir dan hutan tadahan air amat penting untuk melindungi sumber air.

Bagaimanapun, apabila melibatkan tadbir urus dan perlindungan hutan yang menadah air bagi sungai, amat sedikit negeri yang meluluskan enakmen negeri. Di Pulau Pinang, sejumlah 62.9 kilometer persegi hutan kini diwartakan dan dilindungi sebagai kawasan tadahan air.

Negeri lain kelihatan enggan untuk meluluskan undang-undang yang sama, kemungkinan memandangkan kepada potensi kehilangan hasil daripada premium, royalti kayu balak dan keluaran hutan lain.

Matlamat Pembangunan Lestari 6 (Sustainable Development Goal 6) memberi komitmen dunia untuk memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses kepada air yang selamat menjelang 2030, dan termasuk sasaran bagi melindungi alam sekitar semula jadi dan mengurangkan pencemaran. Oleh itu, hutan hujan Malaysia mestilah dilindungi sebagai kawasan tadahan air mentah negara untuk melindungi bekalan air untuk penduduk.

Sehubungan itu, kami menggesa kuasa melindungi kawasan tadahan air kritikal dibawa ke bawah kuasa perundangan Persekutuan juga. Rasional bagi tujuan perundangan baharu yang dicadangkan ini ialah jika hutan hujan musnah, sungai akan kekeringan, dan ini akan menyebabkan krisis bekalan air. Jika terdapat krisis bekalan air, ia akan menjadi krisis negara yang akan menjejaskan berjuta penduduk dan mengganggu semua aktiviti ekonomi dan pergantungan hidup.

Air hujan merupakan sumber air lestari yang merupakan komponen penting dalam mencapai jaminan sekuriti air. Dalam konteks ini, melindungi hutan, sungai dan tanah lembap yang merupakan kawasan tadahan air semula jadi perlu dianggap sebagai isu kepentingan negara yang perlu diambil tindakan segera.

 

SM. MOHAMED IDRIS

Presiden   


Showing 1 reaction

Join Donate