Masalah sampah penuh dalam parit Di Jalan Sungai Bakau, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan

Kenyataan Media                                        26 Mac 2018

Keadaan parit di jalan Sungai Bakau yang kotor dan perlu perhatian segera dari pihak PBT.        Gambar : SAM

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan pihak-pihak lain yang berkenaan supaya memantau dan mengatasi masalah pencemaran parit yang dicemari dengan sampah serta sisa kumbahan yang berlaku di Jalan Sungai Bakau berdekatan dengan Kilang Beras Hon Seng Rice Mill Sdn. Bhd.

Tinjauan yang dijalankan kami mendapati kualiti air dalam parit berkenaan amat membimbangkan kerana ia berbuih, berbau busuk dan dipenuhi dengan sampah sarap. Itulah keadaan parit di kawasan ini yang semakin tercemar dan menyebabkan orang ramai tidak selesa selain bimbang dengan tahap kesihatan mereka. Selain itu, kami bimbang dengan keadaan air yang berbuih dan kemungkinan besar ia merupakan sisa buangan dari premis-premis perniagaan di kawasan berkenaan.

Sebahagian dari pemandangan dalam parit tersebut.          Gambar : SAM

Pelbagai  sisa buangan seperti bekas polisterina, botol minuman plastik, beg plastik, tin kosong dan sebagainya turut ditemui dalam parit di Jalan Sungai Bakau. Sampah yang dikatakan menjadi punca parit tersumbat dan menyebabkan air bertakung dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk dan sekiranya tidak dibendung boleh membawa kepada penularan wabak penyakit. Kami memohon kepada Jabatan Kesihatan untuk jalankan pemeriksaan di kawasan terbabit.

Sistem saliran yang dipenuhi dengan sampah turut memasuki kawasan kebun kelapa sawit yang berdekatan. Menurut penduduk yang ditemui menyatakan setiap kali berlakunya hujan lebat, air melimpah  ke jalan utama serta memasuki rumah-rumah mereka. Menurut mereka lagi, sejak kebelakangan ini mereka jarang melihat air di parit tersebut mengalir sempurna malah semakin teruk sistem pengaliran air tersebut.

SAM berpendapat, tindakan sewajarnya perlu dilakukan segera termasuk naik taraf sistem perparitan demi menjamin kualiti hidup dan persekitaran yang baik bagi masyarakat yang tinggal dikawasan ini. SAM juga berharap agar pihak-pihak berkenaan turun padang dan lihat sendiri sistem perparitan berkenaan.

Sehubungan itu, SAM menggesa kepada pihak-pihak berkenaan supaya perkara ini ditangani dan dipandang serius. Tidak mustahil ancaman terhadap alam sekitar akan bertambah buruk suatu hari nanti jika perkara ini tidak dibendung dari awal.

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate