Masalah sistem perparitan Seberang Perai: Siasat punca dan cari penyelesaian

Adakah industri di kawasan ini tidak mencemarkan air dalam parit berkenaan   Gambar : SAM 
Kenyataan Akbar                                    10 April 2019
Masalah banjir kilat di beberapa buah kawasan sekitar Seberang Perai Selatan hingga ke Seberang Perai Utara tidak akan berkesudahan sekiranya sistem perparitan sistematik yang membolehkan air bertakung dapat mengalir keluar dari kawasan-kawasan yang dilabelkan sebagai “hot spot” banjir.
Pihak-pihak yang berkenaan terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seharusnya mencari punca yang membawa kepada permasalahan  limpahan air sehingga menyebabkan berlakunya banjir kilat bila hujan lebat yang berterusan  berlaku. 
Sebagai contoh masalah banjir kilat di Kampung Titi Hitam, Sungai Bakap daerah Seberang Perai Selatan, menurut penduduk tempatan, masalah ini berpunca dari sistem saliran yang kurang baik. Apabila dikaji dan diselidik mendapati puncanya datang dari sistem saliran yang tersumbat, tersekat dan terhadang oleh benda-benda asing sehingga menyebabkan terjadinya  limpahan air. 
Keadaan Sungai Jawi yang semak dan berlumpur           Gambar : SAM 
Berlakunya limpahan air adalah disebabkan oleh kadar atau paras takungan air yang tinggi (over limit). Kenapa kadar takungan ini tidak mampu menampung air yang banyak, puncanya adalah dari keadaan saliran yang kurang memuaskan.
Masalah sebegini akan menyebabkan rumah penduduk pasti dinaiki air walaupun hujan lebat berlaku hanya satu atau dua jam. Ada juga rumah penduduk yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, kini mengalami masalah yang sama memandangkan sistem perparitan yang tidak sempurna.
Walaupun tidak semua penduduk kampung terlibat dalam masalah itu, namun mangsa yang terlibat terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda. Selain itu ada juga penduduk yang terpaksa mengeluarkan wang untuk membuat simen penghadang air di pintu bagi mengelak air memasuki rumah.
SAM difahamkan, dahulunya parit serta sungai yang terdapat di beberapa buah kawasan yang sering berlaku banjir mampu menampung jumlah air yang banyak kerana keluasan parit dan sungai begitu lebar dan dalam, namun pada hari ini keadaan parit dan sungai yang sedia ada tidak lagi mampu menampung kuantiti air yang banyak kerana sempit dan cetek. 
Apabila sistem saliran menjadi sempit dan cetek bagaimana ia mampu menampung jumlah kuantiti air yang banyak yang datang dari pelbagai cabang saliran? 
Lihatlah parit-parit serta sungai-sungai di hujung kampung, kebanyakannya dipenuhi dengan tumbuhan liar seperti rumput rumpai dan lumpur yang menyebabkan kadar kedalaman air menjadi cetek. Selain itu, terdapat pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan memperluaskan bangunan industri mereka serta menanam sawit di atas tanah rizab tanpa pengetahuan pihak berkuasa.  
Longgokan sisa pepejal (sampah sarap) yang dibuang ke dalam kawasan hutan bakau yang berhampiran    Gambar : SAM 
Malah ada parit saliran yang dijadikan tempat buangan sisa-sisa kumbahan ternakan kolam akuakultur (antara penyumbang utama kepada masalah berlakunya lumpur dalam parit dan sungai), sisa kumbahan industri dan najis haiwan sehingga menyebabkan warna air bertukar kehitaman serta  menyebabkan pencemaran. 
Sepanjang tinjauan yang dilakukan, kami turut menemui longgokan sisa pepejal (sampah sarap) yang dibuang ke dalam kawasan hutan bakau oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tanpa rasa bersalah. 
Persoalannya disini ialah :-
Adakah perkara ini diambil berat dan dipandang serius oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab? 
Adakah pihak-pihak berkenaan menjalankan pemantauan atau tinjauan ke kawasan-kawasan tersebut?
Kami tidak menafikan adakalanya banjir kilat yang berlaku berpunca dari fenomena alam seperti air pasang besar dan sebagainya namun di sebalik itu perkara utama yang menjadi pucuk pangkal bualan atau tumpuan orang awam ialah tentang masalah perparitan dan saliran.  
SAM juga dimaklumkan, tiada mana-mana pegawai atau pihak tertentu turun padang mengadakan pertemuan dengan penduduk untuk mengambil kira pandangan serta pendapat mereka yang berhadapan dengan musibah seperti ini.
Kami juga menyedari ada segelintir penduduk yang gemar menimbunkan sampah di hadapan rumah sehingga ada yang jatuh bertaburan di dalam longkang serta parit saliran.  SAM percaya, jika ada usaha bersungguh-sungguh untuk menaiktaraf sistem perparitan di kawasan-kawasan berkenaan pasti masalah tersebut akan mampu diselesaikan.
Justeru, SAM menggesa kepada pihak-pihak yang berkenaan terutama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana ia bukan sahaja melibatkan soal kerugian harga benda, tetapi juga keselamatan penduduk di masa akan datang
Pada masa sama, pihak-pihak berkuasa perlu turun padang untuk melihat sendiri masalah yang timbul dan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama-sama penduduk serta mendengar keluhan, mendapatkan pendapat, pandangan serta curahan idea dari mereka yang mungkin dapat membantu menyelesaikan permasalahan ini.
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden
Join Donate