NGO Sokong Gesaan Penutupan Sementara Kilang Kimia Di Pasir Gudang

Siaran Akhbar                                         2 Julai 2019

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyuarakan sokongan kami terhadap gesaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB. Hassan Karim, bagi penutupan sementara kilang yang disyaki bertanggungjawab terhadap serentetan kesihatan yang buruk dalam kalangan pelajar dan guru di kawasan itu, termasuklah kanak-kanak di tadika.

Di bawah Peraturan 24 Peraturan Udara Bersih 2014, Ketua Pengarah Alam Sekitar mempunyai kuasa untuk menutup mana-mana premis daripada beroperasi seterusnya sehingga langkah pemulihan dilakukan, dalam keadaan ‘kejadian yang tidak diingini’, termasuklah pencemaran serius yang mengancam alam sekitar, atau keselamatan dan kesihatan awam yang perlu dihentikan dengan segera.

Tujuan peruntukan ini ialah untuk melindungi kesihatan, keselamatan dan kebajikan awam, dan memandangkan bilangan mangsa yang menerima kesan oleh pencemaran itu amat ketara, adalah penting bagi Ketua Pengarah Alam Sekitar untuk bertindak dengan sewajarnya.

Jelas bahawa kesihatan yang buruk di kawasan itu adalah akibat bahan kimia di dalam udara, dengan sekurang-kurangnya sesetengah daripadanya telah dikesan. Jadi, walaupun sumber sebenar pencemaran udara, yang bermaksud kilang atau kilang tertentu masih belum dipastikan, berkemungkinan besar pencemaran ini datangnya daripada kilang kimia.

Kami bersetuju dengan YB. Pasir Gudang bahawa tanggungjawab adalah kepada pengendali kilang untuk menunjukkan bahawa mereka tidak bertanggungjawab terhadap masalah alam sekitar di kawasan itu.

Dilaporkan dalam media terdapat 250 kilang kimia dan 111 sekolah rendah dan menengah di kawasan Pasir Gudang.

Sesungguhnya tidak dapat diterima bahawa pelajar termasuk kanak-kanak dan guru-guru terpaksa menderita daripada pencemaran yang berterusan, sementara menunggu pihak berkuasa mencari punca sebenar masalah. Ibu bapa dan guru sekolah tentu hidup dalam ketakutan dan kebimbangan dan amat tidak adil untuk mereka menghadapi tekanan mental, menderita dan membahayakan kesihatan mereka.

Bahkan, kekerapan penutupan sekolah akan menjejaskan prestasi pelajar dalam pengajian mereka. Orang ramai sudah cukup menderita. Kini tiba masanya bagi tindakan drastik diambil.

Sehubungan itu, kami menggesa Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Ketua Pengarah Alam Sekitar bertindak segera dan menutup sementara kilang kimia sehingga langkah pemulihan dilakukan dan menghilangkan kebimbangan dan penderitaan orang ramai.

Kita mestilah mengutamakan kesihatan dan keselamatan orang ramai mengatasi keuntungan syarikat yang membahayakan alam sekitar dan kesihatan awam.

 

Mohideen Abdul Kader,

Presiden CAP

 

Meenakshi Raman,

Presiden SAM      

Join Donate