Operasi Kuari Haram Di Teluk Bahang Menunjukkan Kecuaian Pihak Kerajaan

Kenyataan Akbar                                       1 Oktober 2019

Sahabat Alam Malaysia (SAM) terkejut membaca laporan akhbar bahawa terdapat suatu kuari granite yang beroperasi secara haram yang sedang menjalankan aktiviti harian walaupun pihak berkuasa tahu akan kewujudan operasinya sejak 2016. Menurut laporan akhbar The Star hari ini, kerajaan negeri telah mengetahui akan kuari haram ini semenjak pendedahan mengenainya pada Mei 2016.

Selanjutnya, dilaporkan bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan notis berhenti kerja pada bulan Februari dan Mei tahun ini tetapi operator terus menjalankan kerja-kerja kuari seperti biasa.

Ia adalah amat menghairankan dan mengejutkan kerana pihak kerajaan tidak bertindak dengan lebih tegas walaupun operator kuari tidak mematuhi perintah berhenti kerja dan melanggar semua peraturan-peraturan yang sedia ada.

Untuk menyulitkan lagi perkara ini, sebahagian operasi haram dijalankan pada kawasan bukit yang melebihi 76m (250 kaki), yang bertentangan dengan Rancangan Stuktur Pulau Pinang, terutamanya untuk kegiatan yang melibatkan pengkuarian dan peletupan.

Kuari ini juga berada di kawasan alam sekitar yang sensitif dan agak dekat dengan kawasan hutan tadahan air dan Empangan Teluk Bahang.  

Bagaimana operator kuari terlepas dengan aktiviti-aktiviti haram yang menjejaskan alam sekitar di kawasan alam sekitar yang sensitif selama bertahun-tahun menimbulkan persoalan yang serius.

Mengapa pihak kerajaan termasuk kerajaan negeri Pulau Pinang yang bertanggungjawab ke atas aktiviti kuari di bawah Kanun Tanah Negara, juga MBPP, tidak mengambil tindakan tegas yang segera terhadap operator kuari yang melanggar undang-undang?

Pihak berkuasa yang tidak mengambil tindakan tegas dan cepat dengan jelas menggambarkan kecuaian terutamanya pihak yang membenarkan kegiatan haram ini untuk berterusan. Operator kuari seharusnya didakwa kerana melakukan kegiatan haram dengan hukuman yang berat dan tegas, dan bukannya dibenarkan untuk meneruskan kerja-kerja kuari.  

Ini adalah satu lagi kes yang menunjukkan kelalaian dan kekurangan penguatkuasaan undang-undang di Pualau Pinang di semua peringkat kerajaan. Peningkatan kapasiti penguatkuasaan kerajaan negeri dan daerah  sudah lama tertangguh.  

Kami menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang dan pihak MBPP untuk mengambil tindakan segera untuk memberhentikan operasi kuari haram ini, mengheret operator tersebut ke mahkamah dan mendesak untuk hukuman penjara.  

Operator kuari tersebut juga harus memulihkan kawasan yang telah dibinasakan akibat kerja-kerja kuari di sini. Tindakan yang tegas dan segera harus diambil oleh pihak bertanggungjawab sekarang dan bukannya menunggu untuk  pendedahan lain dari pihak media sebelum bertindak!   

 

Meenakshi Raman

Presiden

Join Donate