Pelihara Juga Kawasan Keliaran dan Habitat Gajah

Kenyataan Media                                      27 September 2018

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan cadangan Kerajaan Negeri Perak untuk mewujudkan Pusat Santuari Gajah di KM20 Jalanraya Gerik - Jeli berhampiran sempadan Perak - Kelantan.

Walau bagaimanapun, SAM menjangka keluasan pusat santuari yang dicadangkan seluas 40 hektar tidak mampu menangani konflik di antara hidupan liar dengan manusia khususnya gajah.

Keluasan pusat santuari yang dicadangkan hanya mampu berperanan sebagai tempat mengurus dan memulihara hidupan liar tersebut sahaja dan bukannya sebagai kawasan keliaran dan habitat semula-jadi.

Sekiranya Kerajaan Negeri bermatlamat untuk mengurangkan konflik di antara hidupan liar dengan manusia, kawasan keliaran dan habitat semula jadi yang masih ada perlu dipelihara dan dilindungi.

Perlu diketahui bahawa kawasan keliaran dan habitat gajah yang masih ada di negeri Perak ialah di sepanjang kompleks hutan Banjaran Titiwangsa iaitu menganjur dari utara di sempadan Perak - Thailand sehingga ke selatan di Sungai Siput.

Sebagai contoh, pemansuhan serta pemusnahan keseluruhan Rizab Hidupan Liar Chior, sebahagian Hutan Simpan Piah (HS Piah) dan HS Korbu telah menyebabkan kerap kali berlaku konflik di antara hidupan liar dengan manusia terutama di kawasan Lenggong dan Sungai Siput.

Antara Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Perak yang masih sebagai kawasan keliaran dan habitat gajah ialah Taman Negeri Royal Belum (HS Belum), HS Gerik, HS Amanjaya, HS Temenggor, HS Papulut, HS Air Cepam, HS Piah dan HS Korbu.

SAM berharap Kerajaan Negeri tidak mengeksploitasi kawasan hutan terutama memansuhkan kawasan HSK di kompleks hutan Banjaran Titiwangsa.

MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate