Pemuliharaan Alam Sekitar di Negeri Perak Mengecewakan

Kenyataan Akhbar                                      3 Mei 2018

Sahabat Alam Malaysia (SAM) kecewa terhadap Pihak Berkuasa kerana masih tidak bersungguh-sungguh memulihara kesejahteraan alam sekitar di negeri Perak. Sejak beberapa tahun kebelakangan, SAM mendapati kerap timbul isu dan konflik alam sekitar di negeri Perak. 

Isu dan konflik alam sekitar yang dikenal pasti tersebut bercanggah dengan komitmen yang dizahirkan oleh pihak berkuasa untuk melestari dan membangunkan negeri secara mampan. Antara isu dan konflik alam sekitar yang berbangkit meliputi tiga kluster iaitu perhutanan dan kawasan semula jadi, sisa pepejal serta perancangan bandar dan wilayah.

 

Perhutanan dan Kawasan Perlindungan Semula jadi

  • Memansuhkan sebahagian Hutan Simpan Tanjung Hantu (HS Tanjung Hantu) yang dikelaskan sebagai Hutan Simpanan Dara (VJR), kawasan pendaratan penyu dan juga dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1) seluas 56.06 hektar pada 13 Oktober 2011 untuk tujuan perindustrian (loji LNG).
  • Memansuhkan keseluruhan Hutan Simpan Bikam (HS Bikam) yang merupakan habitat spesies kritikal terancam ‘Critically Endangered’ (CR) di bawah ‘International Union for Conservation of Nature’ (IUCN) iaitu pokok Keruing Paya (Dipterocarpus coriaceus) seluas 495.5 hektar pada 29 Mei 2013 untuk tujuan pertanian (penanaman kelapa sawit berskala ladang).
  • Berhubung habitat spesies kritikal terancam (CR) di bawah IUCN iaitu pokok Keruing Paya (Dipterocarpus coriaceus), satu lagi habitat spesies tersebut dibimbangi dimusnahkan apabila dimansuhkan sebahagian Hutan Simpan Chikus (HS Chikus) seluas 663 hektar pada 2 Februari 2017 untuk tujuan pertanian.
  • Memansuhkan keseluruhan Rizab Hidupan Liar Chior (RHL Chior) yang merupakan Rizab Hidupan Liar / kawasan perlindungan (big game) yang pertama ditubuhkan di Malaysia. RHL Chior juga adalah habitat utama mamalia besar terutama gajah. Pemansuhan ialah seluas 692.7 hektar pada 31 Julai 2014 untuk tujuan pertanian (penanaman kelapa sawit berskala ladang).
  • Menukar guna-tanah hutan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) kepada kuari (granit). Salah satunya ialah di Kompartmen 13, 14, 15 dan 16, Hutan Simpan Segari Melintang (HS Segari Melintang) seluas 80 hektar pada 2017. Kelulusan kuari di kawasan HSK adalah bercanggah dan tidak mematuhi ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70. MTN telah menyarankan kepada semua Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan sebarang kelulusan kegiatan perlombongan dan kuari dalam HSK. Ini kerana kegiatan perlombongan dan kuari dalam HSK secara langsung akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.
  • Kawasan pendaratan penyu di Segari masih tidak diwartakan sebagai kawasan perlindungan (PA) tetapi telah diluluskan sebagai kawasan perindustrian (kilang besi dan keluli) dan kawasan pengambilan pasir.
  • Kawasan pendaratan tuntung sungai di Bota juga masih tidak diwartakan sebagai PA dan dibimbangi kerana kawasan berhampiran terdapat beberapa kawasan pengambilan pasir.
  • Belum ada kawasan yang dilitupi jenis hutan batu kapur diwartakan sebagai HSK atau kawasan perlindungan. Terdapat habitat spesies kritikal terancam (CR) di bawah IUCN iaitu pokok Hopea bilitonensis di Gunung Gajah dan Gunung Tempurung, Gopeng. Manakala di dalam gua bukit batu kapur pula terdapat habitat labah-labah daripada kumpulan yang dikenali sebagai ‘living fossil’ dan sangat jarang ditemui iaitu Liphistius kanthan masih mempunyai abdomen yang bersegmen dan tidak menyerupai labah-labah moden.
  • Perangkaan keluasan HSK di negeri Perak pada tahun 2015 ialah 997,623.86 hektar tetapi pada tahun 2016 pula berkurangan iaitu 997,604.12 hektar. Ini bercanggah dengan salah-satu Strategi Korporat utama Jabatan Perhutanan Negeri iaitu: Mengekalkan keluasan Hutan Simpanan Kekal sedia-ada dan meningkatkan keluasannya.

Sisa Pepejal

  • Pengharaman penggunaan polisterin dan beg plastik masih belum dilaksana dan dikuatkuasa di negeri Perak. Sepatutnya pelaksanaan larangan penggunaan polisterin dan beg plastik ialah pada Jun 2017.
  • Meneruskan operasi tapak pelupusan sisa pepejal di Teluk Mengkudu, Segari walaupun Jabatan Alam Sekitar tidak meluluskan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling Terperinci (DEIA) dan terletak dalam lingkungan KSAS.
  • Pengurusan, pengutipan sisa pepejal adalah masih tidak memuaskan terutamanya di kawasan luar bandar yang mana sampah dilonggok tanpa dilupuskan dengan sempurna.

Perancangan Bandar dan Wilayah

  • Melakukan pengubahan zon dan guna-tanah semasa daripada pelancongan dan kawasan semula-jadi (hutan: sebahagian Hutan Simpan Teluk Muroh [HS Teluk Muroh]) kepada perindustrian pada 19 November 2009.
  • Memansuhkan dahulu kawasan HSK sebelum mengadakan Sesi Pendengaran Awam - Seranta dan Bantahan Awam Rancangan Tempatan (RT). RT yang berkenaan ialah RT Kuala Kangsar yang melibatkan Hutan Simpan Piah (HS Piah) dan Hutan Simpan Korbu (HS Korbu).
  • Maklumat serta peta guna-tanah / zon semasa dan cadangan guna-tanah di dalam pelan perancangan fizikal terutama RT Ipoh dan Rancangan Struktur Negeri (RSN) tidak menyata dan menunjukkan bahawa terdapat kawasan / tapak pelupusan sisa radioaktif di Lahat.

SAM amat berharap akan ada perhatian dan tindakan terhadap isu dan konflik yang disenaraikan di atas sebagaimana komitmen yang telah dizahirkan oleh Pihak Berkuasa Negeri kepada kesejahteraan alam sekitar.

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden,      

Join Donate