Pencerobohan Dan Penerokaan Haram Di Sebahagian Kompartmen 37, 38 Dan 33, Hutan Simpan Bukit Larut, Daerah Hutan Larut Matang Dan Daerah Hutan Kuala Kangsar, Perak

Kawasan HS Bukit Larut yang diteroka              Gambar : SAM

Kenyataan Media                                      22 Mac 2020

Di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tidak mustahil akan berlaku kegiatan-kegiatan yang berkaitan kesalahan-kesalahan hutan. Antara kegiatan yang berkaitan kesalahan-kesalahan hutan ialah memasuki kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) tanpa permit, dan penerokaan haram kawasan HSK.

Berdasarkan makluman awam dan rujukan koordinat di peta topo, disyaki sebahagian Kompartmen 33, Hutan Simpan Bukit Larut (HS Bukit Larut) dalam Daerah Hutan Kuala Kangsar, Perak sedang dilakukan kegiatan 'clearing' dan pemusnahan litupan hutan asal untuk dijadikan sebagai kawasan pertanian.

Manakala sebahagian Kompartmen 37 dan Kompartmen 38 dalam Daerah Hutan Larut Matang telah lama diteroka. Kompartmen 33, terletak bersebelahan dengan Kompartmen 37.

Peneroka haram memasang pagar renjatan elektrik di kawasan yang mereka teroka        Gambar : SAM

Walaupun aduan telah lama dikemukakan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak iaitu sejak tahun 2016 serta penerokaan haram di kawasan tersebut telah lama berlaku iaitu lebih dua puluh tahun tetapi dilihat tidak ada tindakan yang tegas dan drastik dilakukan oleh Jabatan tersebut.

Proses pemutihan yang dicadangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri iaitu dengan memberi Permit Penggunaan kepada peneroka-peneroka haram dibimbangi akan menggalakkan lagi penerokaan di kawasan persekitaran.

Pelaksanaan proses pemutihan di kawasan tersebut bercanggah dengan kepentingannya sebagai kawasan Rangkaian Ekologi 'Central Forest Spine: Primary Linkage' 10 (Rangkaian Ekologi 'CFS': PL 10).

Oleh itu SAM menggesa Jabatan Perhutanan Negeri melakukan tindakan drastik bagi mengekang kegiatan penerokaan haram yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.  Ini adalah selaras dengan tema Hari Hutan Antarabangsa 2020 iaitu “Hutan dan Biodiversiti: Kehilangannya Terlalu Berharga” yang diwar-warkan oleh Jabatan Perhutanan.

Antara tindakan segera dan tegas yang perlu dilakukan oleh pihak Jabatan Perhutanan ialah:

  • menutup jalan hutan dari jalanraya ke kawasan penerokaan haram dengan membina halangan dan parit;
  • memusnahkan tananam yang ditanam oleh peneroka-peneroka haram; dan
  • memusnahkan pagar renjatan elektrik yang didirikan oleh peneroka-peneroka haram.

 

MEENAKSHI RAMAN

Presiden

Join Donate