Pendapatan Dan Kehidupan Komuniti Nelayan Pantai Terjejas Akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

KENYATAAN MEDIA                                  28 MAC 2020

Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) menyambut baik tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Walaubagaimanapun, pelaksanaan PKP yang berkuatkuasa pada 18 Mac 2020 lalu telah memberikan kesan negatif kepada sebahagian sektor perikanan negara terutamanya kepada komuniti nelayan pantai. Pada masa yang sama pelaksanaan PKP turut mendedahkan kepincangan yang wujud dalam rantaian bekalan (supply chain) industri perikanan negara yang  mengakibatkan pendapatan dan kehidupan komuniti nelayan pantai khususnya terjejas.

Walaupun PKP membenarkan nelayan turun ke laut (beroperasi) bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara tidak terputus dan keselamatan makanan (food security) negara terjamin namun hasil tangkapan nelayan khususnya nelayan pantai tidak dapat dijual kerana peraih (orang tengah) tidak lagi membeli hasil tangkapan apabila sebahagian pasar ditutup manakala yang beroperasi pula telah dihadkan masa operasi.

Sebahagian besar nelayan pantai masih (terpaksa) bergantung kepada peraih (orang tengah) kerana tidak semua persatuan nelayan memainkan peranan untuk membeli dan memasarkan hasil tangkapan nelayan. Apabila hasil tangkapan tidak dapat dipasarkan sebahagian besar nelayan memutuskan untuk tidak lagi ke laut bagi mengelakkan pembaziran dan kerugian yang lebih besar. Namun, pada masa yang sama hal ini menyebabkan nelayan kehilangan sumber pendapatan dan menjejaskan kehidupan komuniti nelayan pantai serta memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan (perikanan) negara.

Secara ringkasnya PKP telah menyebabkan:

  1. Hasil tangkapan nelayan khususnya nelayan pantai tidak dapat dijual apabila para peraih (orang tengah) berhenti membeli hasil tangkapan nelayan kerana tidak mahu megambil risiko akibat pasaran yang tidak menentu.
  2. Hasil tangkapan nelayan tidak sampai ke pasaran dan akhirnya pendaratan hasil tangkapan berkurang apabila para nelayan berhenti ke laut kerana tidak dapat menjual hasil tangkapan masing-masing.
  3. Pendapatan dan kehidupan komuniti nelayan pantai terjejas kerana tidak dapat menjual hasil tangkapan dan terpaksa berhenti turun ke laut kerana tidak mahu terus menanggung kerugian.
  4. Rantaian bekalan makanan (perikanan) negara terjejas apabila nelayan terpaksa berhenti turun ke laut.

Justeru, JARING menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengambil langkah segera bagi memperbaiki kepincangan yang wujud dalam rantaian bekalan (supply chain) industri perikanan negara bagi memastikan kehidupan komuniti nelayan tidak terjejas teruk dan dalam masa yang sama keselamatan makanan (food security) negara terus terjamin.

Isu peraih (orang tengah) adalah isu lama yang sekian lama menjadi duri dalam daging  kepada komuniti nelayan dan antara langkah strategik yang perlu dilaksanakan LKIM adalah memastikan semua persatuan nelayan kawasan terlibat dalam pemasaran (membeli dan memasarkan) hasil tangkapan nelayan sebagai peraih (orang tengah). Perkara ini secara tidak langsung akan menghapuskan monopoli dan penguasaan orang tengah dalam pasaran dan yang lebih penting adalah dapat memastikan kelangsungan pemasaran hasil tangkapan nelayan apabila berlakunya sesuatu krisis seperti Covid-19.

 

AZRILNIZAM OMAR

Setiausaha

Persatuan Pendidikan dan Kebajikan

Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING)

Join Donate