Penderitaan Yang Tidak Terhingga

Surat kepada Pengarang                                        3 Oktober 2019

4 Oktober adalah Hari Haiwan Sedunia dan ini adalah masanya untuk memberi perhatian kepada penderitaan haiwan. Banyak haiwan mengalami kesakitan dan penderitaan apabila didera, terabai atau dilayan dengan kejam oleh manusia. Ia boleh menyebabkan bahaya atau penderitaan untuk tujuan khusus seperti pembunuhan haiwan untuk makanan, bagi mendapatkan bulunya, gading atau bahagian tubuh serta kekejaman yang dikaitkan dengan kaedah penyembelihan tertentu.

Kekejaman terhadap haiwan kadang kala merangkumi menimbulkan kemudaratan atau penderitaan dalam bentuk pengakhiran itu sendiri, sepertimana kes haiwan dibunuh bagi makanan harian. Perternakan perkilangan (factory farming) menyebabkan berbilion haiwan menderita setiap tahun. Keadaan skala perindustrian dalam fasiliti ini sendiri bermaksud banyak prosedur rutin atau amalan ternakan haiwan mengganggu kebajikan haiwan dan boleh dianggap kejam. Kumpulan kempen menyuarakan bahawa ayam, lembu, babi dan haiwan ternakan lain adalah antara haiwan yang paling banyak menghadapi kekejaman.

Pemakanan berlebihan daging di seluruh dunia merupakan satu lagi faktor yang menyumbang kepada situasi kesengsaraan haiwan ternakan. Tetapi haiwan ini bukanlah satu-satunya yang terpaksa membayar harga yang tinggi. Ternakan haiwan secara besaran juga menyumbang sejumlah gas rumah hijau yang berkaitan dengan gangguan iklim. Sisa daripada ladang penternakan juga memasuki bekalan air dan udara, meracuni komuniti luar bandar.

Istilah “ternakan bebas/lepas” (free rangeyang memastikan haiwan hidup dalam gaya hidup semula jadi dengan sedikit sekatan terhadap kebebasan dan tingkah laku boleh mengelirukan. Walaupun diberikan lebih banyak ruang berbanding haiwan yang diternak secara perkilangan, ayam ternak lepas masih boleh dikurung dalam reban besar tanpa tingkap. Sama ada dalam reban tanpa tingkap atau di luar, ia masih tertakluk kepada kecacatan yang menyakitkan seperti memotong paruh, tanduk dan ekor.

Label ‘organik’ juga bererti standard kebajikan yang tinggi tetapi organik tidak menjamin bahawa haiwan ini hidup secara ternak lepas. Sementara haiwan ternak lepas dan ternakan organik mempunyai kualiti hidup yang lebih baik berbanding haiwan yang diternak secara perkilangan, ia juga tertakluk kepada trauma yang sama di mana ia diangkut ke rumah penyembelihan dan kematian menakutkan yang sama.

Haiwan ternakan dianggap sebagai semata-mata unit pengeluaran. Tubuh mereka dipaksa sehingga ke hadnya dalam usaha untuk menghasilkan jumlah terbesar daging dalam tempoh masa yang singkat. Kini ia dipilih secara genetik dan dimanipulasikan untuk menghasilkan lebih banyak susu, daging, telur dan anak ayam. Lembu tenusu menghasilkan sekitar sepuluh kali lebih banyak susu berbanding anak lembu boleh meminumnya. Penyelidikan masih dijalankan bagi meneruskan peningkatan produktiviti.  

Haiwan didera dan dieksploitasi dalam pelbagai bentuk hiburan. Haiwan bukan aktor, dipertontonkan, dikurungkan atau badut sarkas. Namun beribu haiwan ini dipaksa untuk melakukan persembahan yang bodoh, helah yang mengelirukan di bawah ancaman hukuman fizikal. Gajah juga ditugaskan untuk ditunggang oleh orang ramai dan sering dipukul dengan kejam. Menghancurkan semangat anak gajah antara lain melibatkan pemukulan, tidak membenarkannya tidur dan membiarkannya lapar. Ini semua satu bentuk kekejaman haiwan!

Kuda yang digunakan bagi perlumbaan juga tertakluk kepada pelbagai ubatan haram dan sah dengan niat untuk menutup kecederaan dan meningkatkan prestasi. Di sebalik perlumbaan kuda adalah dunia yang penuh dengan kecederaan, penyalahgunaan ubatan, kecederaan yang mengerikan dan penyembelihan. Pertukaran pemilikan berleluasa dan kebanyakan haiwan ras asli dibeli atau “dituntut” berulang kali sepanjang kerjayanya.  Iia dijual dan dibeli sebagai komoditi dan tidak dinyatakan lagi di mana kuda ini akan berakhir pada akhir tugasnya.

Haiwan di zoo, kawasan perlindungan, haiwan kurungan dan haiwan yang dipertunjukkan di tepi jalan dipaksa menghabiskan usianya di dalam kurungan hanya untuk menghiburkan orang ramai. Keadaan kehidupan mereka sering dalam keadaan muram dengan haiwan dikurung dalam kurungan yang sempit, kosong dan kotor serta tiada sebarang pengayaan alam sekitar. Bosan, sunyi malah didera oleh penjaga menyebabkan banyak haiwan ini menderita akibat keadaan yang dipanggil zoochosis – menggoyang, menggegar atau mundar-mandir tanpa henti dan sesetengahnya mencederakan diri sendiri dengan menggigit jari sendiri atau anggota tubuh atau menarik bulunya.

Haiwan dalam perdagangan haiwan eksotik pula menderita akibat dikeluarkan daripada habitatnya dan tidak dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam perjalanan daripada tempat tinggalnya. Bagi yang terselamat pula sering menderita dalam kurungan dan mati awal akibat kekurangan zat makanan, alam sekitar yang tidak semula jadi dan tidak selesa, kesunyian dan tekanan berlebihan dalam kurungan.

Penderitaan haiwan peliharaan di rumah juga meluas dan luar biasa. Kes haiwan didera semakin meningkat dengan laporan yang kerap dibuat mengenai penderaan anjing dan kucing, diracuni, disembelih, diabaikan dan banyak lagi.

Kehidupan haiwan terjejas oleh tindakan individu, perniagaan dan negara. Oleh sebab itu, sebagai makhluk hidup, mereka juga berhak menerima keadilan sosial dan diterjemahkan kepada perlindungan haiwan yang berkesan. Melalui peningkatan kesedaran dan pendidikan, kita dapat membantu mengembangkan budaya kasih sayang yang membawa kepada perubahan perundangan dan kemajuan sosial untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih adil bagi semua makhluk hidup. Kita hendakkan dunia di mana haiwan diakui sebagai makhluk bernyawa dan perhatian penuh perlu diberikan untuk kebajikan mereka.

 

Meenakshi Raman

Presiden

Join Donate