Penglibatan VVIP Dalam Perdagangan dan Pemburuan Haram Hidupan Liar

Surat Kepada Pengarang                           11 November 2019

Pendedahan terbaharu oleh Ketua Polis Negara (KPN) bahawa ada VVIP terlibat dalam pemburuan dan perdagangan haram hidupan liar amat membimbangkan. Menghentikan pemburuan haram ini memerlukan tindakan menentang mereka yang kaya dan berpengaruh yang sering berkaitan dengan kumpulan jenayah terancang.

Ia bukan hanya mengenai menangkap dan memenjarakan pemburu kerana terdapat bekalan tanpa henti pemburu haram ini. Mengejar pemburu atau penyeludup kecilan mungkin bukan penyelesaiannya tetapi sasaran perlulah ke arah pemain besar dalam rangkaian pemburuan dan pegawai kerajaan yang menerima rasuah. Di antara penyeludup hidupan liar ini, VVIP ini, orang yang ditakuti dalam masyarakat kita, biasanya ahli perniagaan besar yang menyembunyikan tindakan jahat mereka dengan mengeksploitasi status mereka untuk manfaat mereka sendiri, kalangan yang rapat dengan mereka atau organisasi mereka.

Mereka menjalankan perniagaan sah yang bertindak sebagai barisan hadapan bagi aktiviti haram mereka. Penglibatan mereka mungkin dalam perniagaan jenis logistik seperti syarikat perdagangan atau perkapalan atau berasaskan komoditi, yang menjadikan mudah bagi mereka untuk menggerakkan sesuatu benda ke tempat lain. Individu ini sering mempunyai gelaran kehormatan pada nama mereka, mempunyai hubungan yang berkuasa dengan pegawai kerajaan, ahli politik, yang kaya dan elit. Kumpulan jenayah yang berurusan dalam hidupan liar turut cenderung melibatkan multinasional yang menyukarkan lagi siasatan. Kerajaan sering tidak berkongsi maklumat atau bekerjasama secara berkesan dengan penguatkuasa merentasi sempadan.

Lonjakan dalam pemburuan, dengan haiwan disembelih di dalam taman negara atau kawasan pemuliharaan, menunjukkan bahawa pemburu tidak takut dengan undang-undang baharu yang tegas yang digubal untuk menghentikan pembunuhan. Mereka tidak menghormati sempadan; jika sebuah negara mengetatkan lagi undang-undang, mereka akan berpindah ke negara jiran. Jika perlindungan diberikan kepada bilangan hidupan liar terancam, mereka akan mensasarkan spesies lain.

Rasuah merupakan salah satu faktor dalam kalangan pegawai kerajaan, agensi dan renjer, yang jauh lebih memberikan kesan mendalam terhadap pemburuan dan penyeludupan hidupan liar. Rasuah memainkan peranan penting dalam memudahkan jenayah hidupan liar dan dengan itu menjejaskan usaha untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap jenayah itu. Komuniti tempatan juga sering sanggup untuk turut terlibat dalam perdagangan hidupan liar haram.

Pemburuan dan penyeludupan hidupan liar haram telah mencapai peringkat yang belum pernah terjadi sebelum ini. Kebanyakan orang ramai amat terkejut apabila mendapati spesies ikonik seperti badak, harimau dan gajah menghadapi kepupusan, dan merasa tidak berdaya untuk bertindak.

Masalah dengan perdagangan haram hidupan liar ini adalah ianya sering dilihat sebagai sesuatu dalam pemerhatian para pemulihara, ahli biologi atau ekologi. Menangani perdagangan haram hidupan liar agak mustahil kerana apabila orang yang paling penting ditangkap, mereka dengan mudah diganti oleh rakan mereka.

Para pakar berkata kini tiba masanya untuk memperlakukan perniagaan berbilion dolar ini dengan cara yang sama sepertimana jenayah terancang serius yang lain, dengan mengguna pakai peralatan yang biasa digunakan dalam memerangi ketua sindiket dadah dan ketua penjenayah lain: teknik anti pengubahan wang haram, dan penyiasatan kewangan. Sebenarnya bentuk siasatan dari sisi jenayah kewangan tidak dijalankan.      

Tugas menangani jenayah hidupan liar memerlukan penglibatan pakar jenayah termasuk pakar pengubahan wang. Rasuah dan rangka kerja peraturan yang lemah mungkin menawarkan beberapa peluang kepada pertubuhan jenayah untuk menyembunyikan hasil jenayah mereka. Satu pendekatan yang boleh diguna pakai untuk semua dalam menangani penyeludupan hidupan liar tidak mungkin berkesan. Penyelesaian yang bergantung kepada kes individu mestilah dibangunkan jika hidupan liar yang disasarkan oleh penyeludup mahu diselamatkan.

 

Meenakshi Raman

Presiden

Join Donate