Perladangan besar monokultur terus mengancam NCR dan hutan di Sarawak

Kenyataan Akhbar                                     21 Julai 2019 

Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin mengumumkan pelancaran penerbitan The Land We Lost – Native customary rights and monoculture plantations in Sarawak (Tanah Kami yang Hilang – Hak tanah adat dan perladangan monokultur di Sarawak), hasil penyelidikan kami tentang bagaimana perladangan besar kayu kertas, kayu balak dan sawit, telah menyebabkan kemusnahan hutan, pencemaran sungai dan pencabulan hak tanah adat (NCR) di Sarawak.

Penerbitan ini menegaskan perlunya kita memahami konteks perladangan monokultur besar di Sarawak dengan tepat, kerana ianya melibatkan dua buah faktor kemusnahan yang tidak boleh disangkal sama sekali. Pertama, ia telah menyebabkan kemusnahan hutan, sungai dan alam sekitar. Ini sebenarnya merupakan sebuah perkembangan pasca-pembalakan, bermula pada lewat 1990an, setelah sumber kayu balak semakin berkurangan akibat dari pembalakan tidak terkawal yang dilakukan pada 1980an dan 1990an. Kedua, ia telah melibatkan pencabulan hak tanah adat. Dua buah faktor ini berlaku akibat dari pelbagai kelemahan sistemik dari sudut kepemerintahan, polisi dan perundangan yang gagal memastikan pengurusan hutan yang lestari dan memberikan jaminan pegangan tanah terhadap NCR.

Kefahaman ini tidak membezakan samada sesebuah ladang monokultur itu ditanam dengan kelapa sawit, kayu kertas ataupun kayu balak. Apa yang digusarkan bukanlah komoditi yang terpilih, tetapi cara dan konteks sesebuah ladang monokultur itu dibangunkan. Tidak kurang pentingnya, perladangan monokultur yang memusnahkan ini lazimnya melibatkan syarikat-syarikat besar. Mereka bukanlah dimiliki atau diuruskan oleh para pekebun kecil.

Penerbitan ini merumuskan bahawa dari lewat 1990an, lebih dari 3 juta hektar tanah di Sarawak, atau satu per empat dari kawasan tanah Sarawak, atau kawasan lebih kurang seluas Pahang, telah pun dikhususkan untuk pembangunan perladangan monokultur. Statistik Hutan Simpanan dan Hutan Kawalan di Sarawak hari ini turut meliputi kawasan yang sebenarnya bukan lagi hutan, tetapi ladang-ladang besar kayu kertas, kayu balak dan sawit.

Hari ini, sebanyak 2.8 juta hektar telah pun dilesenkan di bawah sistem Licence for Planted Forest (LPF) yang meliputi kawasan berhutan di bawah bidangkuasa Jabatan Hutan Sarawak. Pada dasarnya, permit LPF adalah untuk pembangunan perladangan kayu kertas atau kayu balak. Namun, 285,520 hektar dari 15 buah permit LPF telah turut dibenarkan untuk ditanam dengan kelapa sawit untuk satu kitaran 25 tahun.

Bagi sektor perladangan sawit pula, penerbitan ini telah mengesan 1.2 juta hektar yang kemungkinan besarnya telah pun dikhususkan. Walau bagaimanapun, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pada 2017, Sarawak telah pun memiliki kawasan penanaman sawit seluas 1.5 juta hektar. Di antara 2007 dan 2017, kawasan penanaman sawit di Malaysia meningkat dari 4.24 juta hektar ke 5.81 juta hektar. Peningkatan paling tinggi ternyata disumbangkan oleh Sarawak, seluas 0.94 juta hektar. Di luar sistem LPF, permit pembangunan perladangan sawit berada di bawah bidangkuasa Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. Terdapat projek yang dibangunkan sepenuhnya oleh pihak pemaju swasta, ada yang diselanggarakan oleh agensi kerajaan seperti PELITA, SLDB, SALCRA dan FELCRA. Terdapat juga projek yang cuba dibangunkan secara usahasama dengan pemilik tanah NCR, terutama sekali melalui model Konsep Baru. Namun pendekatan ini juga sering ditolak komuniti kerana ianya akan menyebabkan mereka hilang akses dan kawalan ke atas tanah NCR mereka sendiri selama 60 tahun, atau kemungkinannya, selama-lamanya.

Walaupun kesan-kesan pembalakan ke atas komuniti orang asal tidak kurang buruknya, kali ini, perladangan monokultur benar-benar telah menyebabkan mereka kehilangan tanah NCR. Hutan dan malah, pekebunan kecil mereka telah musnah ditebang bersih. Hari ini, banyak kampung orang asal di pedalaman Sarawak yang terpaksa bergantung kepada air hujan untuk bekalan air bersih mereka setelah sungai mereka tercemar. Tentunya, segala kemusnahan ini telah menjejaskan punca pendapatan mereka dengan teruk. Ini semua terus dialami oleh anggota Persatuan Penduduk Sungai Buri di Bakong dan Persatuan Penduduk Rumah Lachi di Batu Niah, dari Bahagian Miri, yang didokumentasikan oleh penerbitan ini.

Masalah kemusnahan hutan dan pencabulan NCR ini tidak mungkin dapat diselesaikan oleh apa juga jenis proses pensijilan. Sebaliknya, penerbitan ini mengesyorkan cara penyelesaian terbaik sebenarnya adalah melalui reformasi polisi dan perundangan. Walaupun kerajaan persekutuan telah mengumumkan bahawa tiada lagi kawasan penanaman sawit baru yang akan dibangunkan lagi, penerbitan ini juga menegaskan bahawa kebanyakan proses pemberian lesen perladangan monokultur ini telah pun dikeluarkan antara lewat 1990an dan 2005. Namun, tidak semua kawasan berlesen ini telah selesai dibangunkan. Oleh itu, ia turut menggesa agar kerajaan persekutuan untuk mengambil tindakan yang perlu untuk melindungi hutan dan wilayah NCR di kawasan lesen yang masih lagi belum dibangunkan, termasuklah bagi tujuan penanaman sawit.

 

Meenakshi Raman

Presiden

 

The Land We Lost boleh dicapai di: https://www.foe-malaysia.org/the_land_we_lost

PELITA - Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Sarawak)

SLDB – Sarawak Land Development Board (Lembanga Kemajuan Tanah Sarawak)

SALCRA – Sarawak Land Consolidation and Rehabilitation Authority (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak)

FELCRA - Federal Land Consolidation and Rehabilitation Authority (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan)

Join Donate